MBSJ roboh struktur tambahan haram

MBSJ merobohkan struktur tambahan dibina secara haram melibatkan 13 premis di pusat komersial Bandar Puteri 2/3, Puchong di sini.
MBSJ merobohkan struktur tambahan dibina secara haram melibatkan 13 premis di pusat komersial Bandar Puteri 2/3, Puchong di sini.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merobohkan struktur tambahan dibina secara haram melibatkan 13 premis di pusat komersial Bandar Puteri 2/3, Puchong di sini.

MBSJ dalam kenyataan berkata, semua premis terbabit didapati menutup keseluruhan permukaan longkang di lorong belakang tanpa kebenaran.

Justeru, pihaknya mengambil tindakan tegas dengan meruntuhkan stor dan sambungan lain yang dibuat di atas longkang tersebut.

“Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Seksyen 46 dan Seksyen 70 Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) melibatkan kesalahan mendirikan struktur atau halangan di tempat awam tanpa kebenaran.

“MBSJ telah meruntuhkan struktur serta binaan haram tersebut sebelum KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalankan kerja-kerja pembersihan longkang,” menurut MBSJ menerusi kenyataan.

Operasi bersepadu pemecahan struktur dan binaan haram itu melibatkan enam jabatan dalaman iaitu Jabatan Bangunan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar serta Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik.

Operasi bersepadu pemecahan struktur dan binaan haram itu melibatkan enam jabatan dalaman MBSJ.
Operasi bersepadu pemecahan struktur dan binaan haram itu melibatkan enam jabatan dalaman MBSJ.

Turut menyertai operasi tersebut ialah pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, KDEBWM dan Ahli Majlis MBSJ Zon 16, Yap Kok Weng.

MBSJ menambah, PBT itu juga akan terus membuat pemantauan berkala di setiap kawasan komersial dan pemilik premis diminta tidak membuang sisa masakan ke dalam longkang serta tidak membina apa-apa struktur di atas permukaan longkang tanpa kebenaran.