Pemandu SUV disaman polis selepas video kemalangan tular

Video tular yang memaparkan kejadian kemalangan melibatkan sebuah kenderaan SUV dan motosikal di Jalan 21/37, pada 3 Mei lalu.
Video tular yang memaparkan kejadian kemalangan melibatkan sebuah kenderaan SUV dan motosikal di Jalan 21/37, pada 3 Mei lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda HR-V yang menyebabkan kemalangan di Jalan 21/37, di sini pada 3 Mei lalu sudah dikenakan saman.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, video kemalangan berdurasi 2 minit sembilan saat yang berlaku jam 7.10 pagi, Rabu lalu membabitkan SUV tersebut dan motosikal jenis Yamaha tular di media sosial.

"Kita telah menerima laporan daripada kedua-dua pihak yang terlibat dalam kemalangan itu. Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

"Saman sudah dikeluarkan ke atas pemandu kenderaan SUV itu atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.

"Kita tidak akan berkompromi kepada mana-mana individu yang memandu secara berbahaya dan tindakan tegas akan diambil ke atas pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang," katanya.