JKNJ kekurangan 2,800 staf kesihatan

Onn Hafiz (kanan) dan Norazman berbincang mengenai kekurangan staf kesihatan di Johor - Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi
Onn Hafiz (kanan) dan Norazman berbincang mengenai kekurangan staf kesihatan di Johor - Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengalami kekurangan hampir 2,800 staf kesihatan khususnya doktor dan jururawat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagi menampung keperluan kesihatan rakyat di negeri ini, kekosongan jawatan berkenaan seharusnya diisi dengan kadar segera.

"Saya berharap agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mempertimbangkan agar jawatan berkenaan diisi dengan kadar segera bagi menampung keperluan serta menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat di negeri Johor.

"Terima kasih kepada pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Norazman Ayob yang sudi mendengar keluhan saya dan Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon tentang pekara ini," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya pada Selasa.

Dalam pada itu, Onn Hafiz meminta pihak KKM melihat cara yang lebih tuntas untuk mengurangkan kesesakan di hospital-hospital negeri Johor, khususnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Sebelum itu pada Isnin, Johor bakal mengemukakan beberapa cadangan kepada KKM bagi mengatasi masalah waktu menunggu yang lama di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail (HSI), dekat sini.

Antara yang dicadangkan adalah supaya KKM dapat memanjangkan masa operasi Klinik Kesihatan Sultan Ismail yang bersebelahan dengan HSI.

Tian Soon dilpaorkan mengadakan lawatan mengejut di HSI pukul 12 tengah malam pada Isnin, susulan banyak aduan diterima bahawa pesakit perlu menunggu lama bagi mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan hospital terbabit.