Tat Meng jurulatih baharu Zii Jia

Zii Jia (kanan) bakal mendapat sentuhan Tat Meng (kiri) selaku jurulatih baharunya.
Zii Jia (kanan) bakal mendapat sentuhan Tat Meng (kiri) selaku jurulatih baharunya.
A
A
A

JAGUH perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menjawab teka-teki mengenai jurulatih baharunya apabila memilih Wong Tat Meng yang turut bertindak selaku Pengarah Kejurulatihan Pasukan LZJ (Team LZJ).

Dalam satu kenyataan pada Selasa, kakak Zii Jia memaklumkan, Tat Meng dipilih berdasarkan pengalaman luas dimilikinya yang pernah membimbing pasukan Malaysia, Indonesia, Scotland, Korea Selatan dan kini, Hong Kong.

“Tat Meng akan memulakan tugasnya bersama Zii Jia sebaik proses perpindahannya dari Hong Kong ke Malaysia diselesaikan.

“Tugas terdekat buat Tat Meng adalah merangka program bagi membantu Zii Jia mencapai prestasi konsisten, melonjakkan kedudukan ranking dunia pemain berkenaan dan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.

Zii Jia yang kini menghuni ranking nombor lapan dunia bergerak solo tanpa sentuhan jurulatih selepas dia berpisah dengan Indra Wijaya pada November tahun lalu.

Sejak Februari lalu, Zii Jia lebih banyak dibantu pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren dalam beberapa kejohanan termasuk Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China minggu lalu.