Alamak raya belum habis lagi!

Masih ada yang masih belum puas dan terpaksa menggunakan ‘masa tambahan’ untuk adakan majlis rumah terbuka walaupun Syawal sudah habis. - Gambar hiasan (Foto 123rf)
Masih ada yang masih belum puas dan terpaksa menggunakan ‘masa tambahan’ untuk adakan majlis rumah terbuka walaupun Syawal sudah habis. - Gambar hiasan (Foto 123rf)
A
A
A

AHAD lalu merupakan minggu terakhir bagi bulan Syawal, sekali gus menandakan sambutan Hari Raya Aidilfitri juga sudah berakhir.

Memang sudah menjadi tradisi rakyat Malaysia untuk meraikan hari raya selama sebulan.

Maka, tidak hairanlah begitu banyak majlis rumah terbuka diadakan terutama pada hujung minggu yang menyebabkan jalan raya terutama di ibu kota sesak teruk.

Tetapi dengar khabarnya masih ada yang masih belum puas dan terpaksa menggunakan ‘masa tambahan’ untuk adakan majlis rumah terbuka walaupun Syawal sudah habis.

Merak Jalanan secara berseloroh beritahu kepada sahabat tersebut untuk menamakan majlis rumah terbuka Aidilfitri di rumahnya itu kepada nama lain. Mungkin Majlis Pra Hari Raya Aidiladha atau Majlis Kesyukuran saja.

Walau apa pun, Merak Jalanan sebenarnya seronok dengan budaya masyarakat kita yang begitu menekankan tentang pentingnya menjaga silaturahim sesama kita dengan mengadakan majlis tersebut.

Inilah kekuatan yang ada dalam diri masyarakat dan perlu dipertahankan sampai bila-bila.

Dengan menjaga hubungan sesama manusia, ia bukan sahaja dituntut oleh Islam, malah diyakini dapat memberikan keberkatan kepada mereka yang melaksanakan perkara tersebut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan.” (Hadis Riwayat Muslim).

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang ingin rezekinya dimurahkan dan umurnya dipanjangkan, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, tidak kisahlah jika majlis Hari Raya Aidilfitri terpaksa dibuat sehingga memasuki bulan Zulkaedah sekali pun, yang penting niat kita adalah untuk mengukuhkan ukhuwah sesama insan.