Pemuda PH diingatkan tepis tohmahan lawan dengan hujah

Mohammed Taufiq menyantuni tetamu sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Sungai Petani pada Ahad.
Mohammed Taufiq menyantuni tetamu sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Sungai Petani pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pemuda Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak menggunakan tohmahan terhadap pihak lawan sebaliknya hujahan yang boleh menguatkan jentera dan parti.

Ketua Angkatan Muda Harapan dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, ingatan itu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.

Beliau yang juga satu-satunya wakil rakyat PH yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di kerusi Parlimen Sungai Petani, Kedah mengingatkan agar jenteranya menepis 'serangan' pihak lawan dengan hujahan tanpa perlu melemparkan kembali tohmahan.

"Ketetapan saya agar jangan banyak lawan tohmahan dengan tohmahan, jangan lawan fitnah dengan fitnah tetapi lawan fitnah dengan hujah," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Sungai Petani pada Ahad.

Dalam pada itu, sebagai persediaan menghadapi PRN, Mohammed Taufiq berkata, semua peringkat pemuda PH telah diminta mengukuhkan jentera selain terus menyantuni rakyat.

"Saya minta untuk semua peringkat parti di kawasan masing-masing perkukuhkan segala struktur walaupun dengan hanya adakan program yang lebih kecil, menyantuni rakyat tetapi konsisten dan beri impak besar.

"Menyantuni rakyat bukan ceramah tetapi lebih kepada turun dari rumah ke rumah, beri perkhidmatan dan sebagainya," ujarnya.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi PRN nanti, Mohammed Taufiq menjelaskan bahawa rundingan telah dibuat sebelum ini malah diteruskan dalam Konvensyen Negeri Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah 2023 di Alor Setar pada Ahad.

"Semua jentera yang hadir ke konvensyen tadi telah diingatkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa menyokong mana-mana calon yang dicalonkan walaupun di kawasan itu tiada parti salah satu yang bertanding, contoh kalau Barisan Nasional (BN) tak bertanding, BN perlu sokong PH," katanya.

Beliau pada masa sama turut menafikan telah menghantar nama sebagai calon mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada PRN nanti.

"Saya sendiri tidak hantar nama. Saya rasa cukup sebagai ahli Parlimen yang disandang tetapi ia serah kepada pucuk pimpinan dan akur pada keputusan parti," jelasnya.