KL City menang, Hodak kecewa lagi

Bojan Hodak
Bojan Hodak
A
A
A

ISU mutu pengadilan saingan Liga Super musim ini terus menghantui pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak biarpun The City Boys melakar kemenangan bergaya 3-1 ke atas Kelantan United FC di Stadium Sultan Muhammad IV pada Sabtu.

Selepas mengemukakan aduan berhubung isu mutu pengadilan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Februari lalu ketika KL City seri 2-2 menentang Penang FC di Cheras, pengendali dari Croatia berusia 52 tahun itu menegaskan akan mengambil tindakan sama terhadap pengadil perlawanan, Fitri Maskon.

“Sejujurnya, saya tidak gembira dengan mutu pengadilan pada perlawanan ini.

“Saya akan membuat laporan melalui saluran yang betul,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas perlawanan di Kota Baharu tersebut.

Bagaimanapun Hodak tidak memperincikan perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hatinya.

“Saya tidak boleh memberikan komen lanjut kerana bimbang dipotong gaji,” ujarnya.

FAM sebelum ini mengulangi pendirian sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang pandangan berkaitan isu pengadil demi kebaikan arena bola sepak negara.

Malah badan induk bola sepak negara itu menegaskan segala aduan boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Penilai Prestasi Pengadil.

Dalam perlawanan itu, gol KL City dijaringkan T Saravanan pada minit ke-17, Sean Giannelli (m-23) dan Paulo Josue (m-75) manakala Kelantan United membalas menerusi sepakan penalti Devid Silva minit ke-34.

Aksi berintensiti tinggi kedua-dua pasukan itu juga menyaksikan Fitri melayangkan sebanyak lima kad kuning kepada pemain KL City dan dua Kelantan United.

Selain itu, Fitri juga menghadiahkan dua sepakan penalti kepada Kelantan United dan satu KL City.

Mengenai perlawanan itu, Hodak memuji aksi pemain-pemain KL City sambil menegaskan pasukan pelawat layak meraih kemenangan ke atas skuad Kijang Hijau.

“Mereka hasilkan tiga gol ke atas Kelantan United yang tampil dengan corak permainan begitu tersusun walaupun berada di tangga tercorot liga.

“Kelantan United bermain dengan baik dan sentiasa berusaha memberikan tekanan yang akhirnya dijelmakan dengan satu gol,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Kelantan United tak pernah mengalah

ARTIKEL BERKAITAN:Kelantan tersungkur lagi, tewas 1-3 dengan KL City