Wan Azizah: Pekerja setia tidak terlibat kes salah laku

Dr Wan Azizah Wan Ismail
A
A

PUTRAJAYA - Pekerja yang setia kepada negaranya tidak akan terlibat dalam perbuatan salah laku, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam perutusan Hari Pekerja yang akan disambut esok, Dr Wan Azizah berkata, pekerja adalah teras kemajuan sesebuah negara dan pekerja yang beramanah adalah aspirasi negara. "Dengan adanya pekerja yang beramanah, isu penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan dapat dielakkan,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dalam pada itu berkata, kerajaan prihatin terhadap keluarga nukleus sekarang di mana kedua ibu bapa bekerja dan tidak ada saudara-mara yang tinggal bersama untuk membantu menjaga anak-anak.

Katanya, beberapa inisiatif telah diusahakan oleh kerajaan untuk memberi ketenangan kepada ibu bapa semasa bekerja termasuk mengadakan taska di hampir setiap kementerian.

Kerajaan, katanya, telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk menambah 50 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bangunan kerajaan ke arah meringankan bebanan ibu bapa yang bekerja.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan dalam usaha memperkenalkan Waktu Kerja Anjal yang memberikan peluang kepada pekerja untuk menentukan waktu kerja masing-masing dan ini dapat membina jaringan antara majikan dan pekerja untuk meningkatkan keseimbangan kehidupan harian dan kerja.

"Kerajaan akan terus berusaha untuk mewujudkan persekitaran pekerjaan yang mesra pekerja dan juga menangani isu-isu yang berbangkit,” katanya.

Dalam penghargaannya kepada pekerja awam dan swasta, Dr Wan Azizah berkata, tanpa mereka, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan dapat mengharungi 12 bulan ujian yang mencabar. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia