Kalimah ALLAH: Noh sokong kenyataan MAIS

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), Tan Sri Noh Omar menyokong kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Persekutuan menarik balik kes rayuan kalimah ALLAH.

Menurutnya, isu tersebut bukan sahaja berkaitan isu pentadbiran, istilah dan keselamatan tetapi juga melibatkan akidah orang Islam serta pentadbiran agama Islam berada di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu di setiap negeri.

"Untuk makluman, pada 2005 ketika saya menjawat jawatan timbalan menteri KKDN dan Ketua Setiausaha KKDN ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kini pengerusi MAIS, kami dimaklumkan oleh pegawai KKDN bahawa ada satu kontena dari Indonesia mengandungi kitab Injil (Bible) menggunakan perkataan kalimah ALLAH ditulis dalam bahasa Indonesia berada di Pelabuhan Klang.

"Saya telah mengarahkan agar kontena tersebut tidak dibenarkan masuk ke dalam negara kerana merasakan ini mungkin merupakan satu perancangan dirancang pihak tertentu untuk mengimport bahan bacaan berbentuk dakwah bagi sesuatu agama tertentu boleh mengelirukan akidah umat Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Noh menambah pada ketika itu, kerajaan Barisan Nasional adalah satu kerajaan yang kuat dan mempunyai sokongan 198 ahli Parlimen di Dewan Rakyat iaitu sokongan lebih 2/3, maka tiada mana-mana pihak mempertikaikan tindakan tersebut.

"Saya menyokong kenyataan MAIS bahawa isu ini seharusnya dibawa ke pengadilan di Mahkamah Rayuan sehingga ke Mahkamah Persekutuan untuk pengadilan.

"Mahkamah adalah tempat terbaik untuk mencari jalan penyelesaian mengenai isu kalimah ALLAH dan sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada rayuan KDN (kerajaan Persekutuan) maka kerajaan Madani boleh meminda undang- undang sedia ada agar perkataan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat, hanya boleh digunakan orang-orang Islam sahaja atau membuat undang-undang baharu mempunyai maksud sama," katanya.

Tambahnya, walaupun undang-undang tersebut berkemungkinan hanya terpakai di Wilayah Persekutuan tetapi ia boleh dijadikan panduan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk meminda atau membuat enakmen baharu berkaitan isu ini," katanya.