Presiden ABIM pertama meninggal dunia

Allahyarham Razali - Foto Twitter ABIMalaysia
Allahyarham Razali - Foto Twitter ABIMalaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengasas dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pertama, Prof Dr Ustaz Razali Nawawi menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.45 pagi Khamis.

Pemergian Allahyarham ke rahmahtullah di sebuah hospital swasta di Bandar Baru Bangi, Selangor diumumkan di halaman Facebook rasmi ABIM Pusat.

Allahyarham Ustaz Razali berusia 83 tahun.

Hantaran itu memaklumkan, jenazah Allahyarham Ustaz Razali akan dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor, pada jam 10 pagi.

Jenazah Allahyarham juga dijangka dikebumikan selepas solat Zohor.

Pada hujung minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi Allahyarham di kediamannya.

Anwar dan Wan Azizah menziarahi Ustaz Razali di kediaman Allahyarham pada hujung minggu lalu.
Anwar dan Wan Azizah menziarahi Ustaz Razali di kediaman Allahyarham pada hujung minggu lalu.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengiringi Anwar ketika menziarahi Razali yang merupakan rakan karib Perdana Menteri itu.

Allahyarham Ustaz Razali menjadi Presiden ABIM pertama pada 1972 dan telah memperkenalkan sistem usrah sebelum diambil alih oleh Anwar sebagai Presiden ABIM yang kedua pada 1974.

Allahyarham telah memainkan peranan penting dalam membentuk dan memajukan organisasi tersebut, yang terus berjuang untuk kepentingan umat Islam di Malaysia.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Dekan Kulliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa dari tahun 1983 hingga 1993. - Awani