Prestasi skuad muda membimbangkan, apa lagi seterusnya?

Skuad badminton gagal menepati sasaran membawa pulang satu pingat emas diletakkan BAM sebelum temasya dwitahunan itu berlangsung. - Foto BAM
Skuad badminton gagal menepati sasaran membawa pulang satu pingat emas diletakkan BAM sebelum temasya dwitahunan itu berlangsung. - Foto BAM
A
A
A

IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga.

Demikian perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan prestasi hambar skuad badminton negara pada temasya Sukan SEA 2023 yang melabuhkan tirainya pada Rabu.

Kekalahan memalukan kepada Filipina dialami skuad wanita kebangsaan dalam acara berpasukan pada peringkat suku akhir dengan keputusan 3-0 seolah-olah memberi petanda bahawa temasya kali ini akan mengundang 'bencana' kepada kem badminton negara di sini.

Ternyata, sangkaan itu tidak meleset sama sekali apabila skuad badminton gagal menepati sasaran membawa pulang satu pingat emas diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum temasya dwitahunan itu berlangsung.

Malaysia sebaliknya merangkul dua perak menerusi acara berpasukan lelaki dan gandingan beregu campuran - Yap Roy King-Cheng Su Yin - serta empat pingat gangsa oleh perseorangan lelaki - Leong Jun Hao dan Lee Shun Yang - selain beregu wanita Su Yin-Cheng Su Hui dan Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan.

Pencapaian buruk skuad negara kali ini sekali gus mengulangi pencapaian pada edisi 2011 di Jakarta-Palembang, Indonesia, apabila mereka hanya memenangi satu perak menerusi acara berpasukan lelaki dan dua gangsa daripada acara berpasukan wanita dan beregu lelaki, Goh V Shem-Lim Khim Wah.

Pengurus pasukan badminton kebangsaan, Mohd Taupik Hussain ketika ditemui mengakui kegagalan skuad wanita dalam acara berpasukan di sini selepas dikejutkan Filipina, minggu lepas.

Justeru, Mohd Taupik yang akan membentangkan laporan prestasi para pemain negara sejurus pulang ke Malaysia juga tidak menolak kemungkinan bahawa rombakan akan berlaku dalam kem badminton wanita kebangsaan susulan persembahan merudum dipamerkan dalam acara berpasukan di Dewan Badminton Morodok Techo.

Di sebalik aksi mengecewakan acara berpasukan di Kemboja, beliau memuji persembahan para pemain wanita dalam acara individu khususnya Su Yin-Su Hui dan Xin Jie-Yeen Yuan yang berjaya membutirkan gangsa sekali gus dapat mengubati sedikit luka yang sememangnya "memedihkan” bagi mereka di sini.

Bukan itu sahaja, beliau juga berbangga dengan prestasi dilakar pasukan lelaki kebangsaan apabila mereka tetap memberikan tentangan sengit biarpun tewas kepada sang juara, Indonesia 1-3 di pentas final, Khamis lepas serta pasangan beregu campuran, Roy King-Su Yin.

Walaupun baru digandingkan pada saat akhir menjelang Sukan SEA 2023, Roy King-Su Yin ternyata mempamerkan persembahan terpuji apabila dapat memberi tentangan sengit kepada pilihan utama dan pasangan ke-10 dunia dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati sebelum tumpas 22-20, 8-21, 16-21.

"Mereka telah berikan persembahan baik, namun apakan daya tuah bukan bersama kita,” katanya ketika mengulas mengenai prestasi pasukan badminton lelaki dan Roy King-Su Yin.

Selain kualiti permainan yang perlu dipertingkatkan, aspek mental dan psikologi pemain juga seharusnya dititikberatkan lagi bagi memastikan mereka dapat beraksi dengan lebih tenang di atas gelanggang.

Ini dapat dilihat bahawa terdapat pemain negara yang mudah "koyak” pada saat-saat genting sekali gus menyebabkan hilang fokus dan menjejaskan prestasi mereka sehinggakan tumbang kepada pemain yang jauh lebih rendah daripada ranking mereka.

Tidak dinafikan, pemain mungkin telah bermain sehabis baik, namun barisan kejurulatihan serta pengurusan tertinggi BAM juga perlu bertanggungjawab terhadap episod suram di Kemboja.

Satu perubahan radikal wajar diambil kerana standard pemain negara dengan musuh tradisi Indonesia yang turut menampilkan skuad muda agak merungsingkan, malah jika pihak terlibat terus leka, tidak mengejutkan jika Vietnam dan Filipina pula mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan pemain badminton negara pada masa depan.

Peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai baru-baru ini wajar dipuji kerana beliau sendiri mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan skuad badminton wanita biarpun Sukan SEA 2023 masih berlangsung ketika itu.

Malah, peminat sukan tanah air pastinya ternanti-nanti apakah akan ada tindakan selanjutnya daripada BAM yang mampu menyelamatkan kembali maruah skuad badminton kebangsaan di pentas dunia.

Lebih menyedihkan, kegagalan skuad badminton negara di Kemboja merupakan satu daripada detik hitam kontinjen negara yang mencatatkan pencapaian teruk dalam sejarah Sukan SEA di sini.

Malaysia menutup kempen di Phnom Penh dengan menduduki tempat ketujuh dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas ditetapkan apabila hanya mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa untuk menghuni tangga ketujuh keseluruhan di belakang Kemboja, Filipina dan Singapura.

Pada hari semua acara pingat berakhir semalam, pencapaian negara kali ini lebih mengecewakan, malah lebih buruk ketika temasya sama di Hanoi, Vietnam tahun lepas yang menyaksikan mereka berada pada kedudukan keenam keseluruhan dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa. - Bernama