United intai pemain Korea Selatan

Min-jae dilaporkan memasang impian untuk beraksi di EPL. - Foto Agensi
Min-jae dilaporkan memasang impian untuk beraksi di EPL. - Foto Agensi
A
A
A

PERTAHANAN kental Napoli, Kim Min-jae semakin hampir untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila dilaporkan akan menyertai Manchester United menerusi klausa perpindahan mencecah 43 juta pound (RM242 juta).

Pemain itu dikatakan sudah bersetuju untuk berhijrah ke Old Trafford dan hanya menunggu butiran lain untuk dipertimbangkan, lapor media Itali di Naples, Il Mattino.

Laporan berkenaan turut menyebut, Napoli sudah mencari pemain pertahanan baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain antarabangsa Korea Selatan itu.

Min-jae gembira di Napoli, namun beliau memasang impian untuk berpindah ke EPL.

Pemain berusia 27 tahun itu mempamerkan aksi mengagumkan pada penampilan Serie A musim ini apabila membantu kelabnya merangkul kejuaraan Scudetto.

Beliau beraksi sebanyak 43 kali dalam semua kejohanan dan turut meledak dua gol bersama pasukan yang merekodkan 15 perlawanan tanpa bolos musim ini.

Min-jae baru sahaja menyertai Napoli musim panas lalu dari kelab Turkiye, Fenerbahce dengan nilai 15 juta pound (RM84.42 juta).

Napoli dijangka mendapat habuan lumayan kerana klausa pelepasan yang perlu dibayar Red Devils dikatakan antara 43 juta pound (RM242 juta) hingga 52 juta pound (RM292.65 juta).