Warga emas pandu cuai didenda RM7,000

U Hussim Uan Harun didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, atas pertuduhan memandu secara tidak cermat hingga menyebabkan kemalangan. - Foto PDRM
U Hussim Uan Harun didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, atas pertuduhan memandu secara tidak cermat hingga menyebabkan kemalangan. - Foto PDRM
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang warga emas didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Isnin atas pertuduhan memandu secara tidak cermat hingga menyebabkan kemalangan membabitkan lima kenderaan, bulan lalu.

Tertuduh, U Hussim Uan Harun, 66, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tuan Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan itu, lelaki itu didakwa memandu secara tidak cermat atau tanpa perhatian munasabah sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain di simpang tiga di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, pada jam 2 petang, 10 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 dan boleh dihukum penjara 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ahmad Firdaus Abdul Hamid.

Dalam kejadian itu, tertuduh memandu kereta jenis Kia Spectra dengan cuai keluar simpang untuk membelok ke kanan kemudian dilanggar oleh sebuah treler muatan balak yang datang dari arah kanan.

Akibat daripada perlanggaran menyebabkan treler tidak dapat mengawal kenderaan dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh tiga kenderaan iaitu Perodua Myvi, Honda Civic dan van Nissan Urvan.

Kesan rempuhan tersebut, van berkenaan diseret sebelum terbalik bersama-sama pemandu dan 15 penumpang pelajar sekolah berusia tujuh sehingga 17 tahun.

Tiga murid perempuan iaitu seorang kanak-kanak tujuh tahun patah tulang bahu kanan, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun mengalami darah beku di dahi dan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun terkehel tulang paha kanan manakala mangsa-mangsa lain cedera ringan.