7,000 penyokong Imran Khas diberkas

Protes yang semakin meningkat di seluruh Pakistan ekoran penahanan bekas Perdana Menteri, Imran Khan. - Foto: AFP
Protes yang semakin meningkat di seluruh Pakistan ekoran penahanan bekas Perdana Menteri, Imran Khan. - Foto: AFP
A
A
A

NEW DELHI - Kerajaan Pakistan telah menahan lebih 7,000 penyokong pemimpin pembangkang yang juga bekas perdana menteri Imran Khan di seluruh negara.

"Beribu-ribu orang ditahan tanpa akses kepada peguam. Mereka telah ditangkap secara haram tanpa mengikut proses undang-undang," kata pemimpin kanan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) Hammad Azhar pada malam Isnin.

"Hampir kesemua mereka tidak dihadapkan di hadapan majistret dalam tempoh 24 jam mengikut undang-undang. Ini adalah penculikan secara haram," katanya.

Tindakan keras terhadap PTI dan penyokongnya dipergiat minggu lalu selepas penahanan Imran oleh pasukan separa tentera Renjer pada 9 Mei mencetuskan protes di seluruh negara.

Ramai orang terbunuh dan cedera dalam pertempuran dengan pihak polis ketika protes itu.

PTI dalam catatan di media sosial mendakwa pasukan keselamatan telah memberkas penyokong parti, ahli parlimen dan ahli keluarga mereka, termasuk wanita.

Ia berkata "ratusan daripada mereka dilaporkan diseksa untuk memberi kenyataan palsu" terhadap kepimpinan parti.

Shandana Gulzar Khan, bekas ahli parlimen, berkata "kami dikepung" dan ramai pemimpin wanita kekal dalam tahanan.

Tindakan itu dipergiat di wilayah Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa, dua wilayah di bawah pentadbiran sementara, selepas PTI melepaskan jawatan pada Januari untuk mendapat mandat baharu.

Pilihan raya belum diumumkan di kedua-dua wilayah itu walaupun terdapat peruntukan perlembagaan yang menetapkan bahawa ia mesti diadakan dalam tempoh 90 hari selepas pembubaran dewan.

Imran berkata, pada Isnin 7,000 orang, termasuk pegawai tertinggi PTI telah ditangkap.

Kerajaan menyalahkan penyokongnya atas keganasan di pelbagai lokasi, termasuk di beberapa kemudahan berkaitan tentera ketika protes minggu lalu.

Tentera Pakistan pada Isnin berkata, mereka yang terlibat dalam serangan terhadap kemudahan dan kakitangan tentera "akan dibawa ke muka pengadilan melalui perbicaraan di bawah undang-undang berkaitan termasuk Akta Tentera Pakistan."

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat komander, tentera memaklumkan bahawa "tiada lagi halangan untuk menahan pelaku, perosak dan penyerang kemudahan tentera dalam apa jua keadaan."

Imran dalam satu kenyataan video berkata, keganasan itu adalah sebahagian daripada plot tersusun dan menyalahkan agensi keselamatan kerana turut terlibat.

"Kami mempunyai bukti yang mencukupi untuk dikemukakan kepada mana-mana siasatan bebas bahawa pembakaran dan tembakan di beberapa tempat dilakukan oleh agensi yang mahu menimbulkan kekacauan dan menyalahkan PTI supaya tindakan keras ketika ini adalah wajar," katanya. - Bernama.