PH perlu bersedia peralihan kuasa PM: Zuraida

Zuraida pada sidang akhbar di Bilik Vip, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) di Sepang, Selangor, hari ini.
Zuraida pada sidang akhbar di Bilik Vip, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) di Sepang, Selangor, hari ini.
A
A
A

SEPANG - Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) perlu bersedia menghadapi proses peralihan kuasa melibatkan jawatan perdana menteri pada masa akan datang.

Beliau yang juga Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan berkata, persediaan tersebut bukan sahaja dilakukan PKR malah membabitkan parti DAP, Bersatu dan Amanah yang berada di bawah payung PH.

"Semua barisan menteri harus bekerja dan menunjukkan prestasi terbaik.

"Pastinya, mereka (menteri) yang cemerlang dalam melakukan tugas akan menerima proses peralihan ini dengan mudah," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan PKR berdepan proses peralihan kuasa tampuk pimpinan negara yang dijangka berlangsung dalam tempoh setahun akan datang.

Terdahulu, pada Februari lalu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan akan mengambil alih tugas sebagai perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh kurang dua tahun.

Dalam wawancara bersama Bloomberg Television, Anwar bagaimanapun berkata mahu memberi cukup masa kepada Dr Mahathir untuk mentadbir negara secara berkesan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar janji terus bangunkan negara

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga memberi jaminan bahawa tidak berhasrat menjadi perdana menteri melebihi dua tahun ekoran faktor usia dan kesihatan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Zuraida yang merupakan Ahli Parlimen Ampang enggan mengulas lanjut mengenai polemik antara Dr Mahathir dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Isu mereka (TMJ dan Tun M) adalah liga dan ‘perang’ berbeza. Justeru, kami tidak akan masuk campur.

"Biarlah perdana menteri yang menyelesaikan perkara tersebut dengan TMJ," ujarnya.