'Bukan masa cari salah, tuding jari' - Mohd Hasbi

Mohd Hasbi ketika Konvensyen Pemuda dan Puteri Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.
Mohd Hasbi ketika Konvensyen Pemuda dan Puteri Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbi Muda mengingatkan semua ahli parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan mengambil tanggungjawab bersama menentang sebuah pakatan yang berpolitik secara keterlaluan.

Beliau menegaskan, ketika ini bukan masanya ahli-ahli menunding jari antara satu sama lain untuk mencari salah, tetapi perlu mempertahankan kerajaan yang direstui Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya yakin kita (parti-parti dalam kerajaan) ada satu musuh yang sama iaitu berdepan dengan 'coalition' (pakatan) yang keterlaluan berpolitik, (yang) memilih untuk menjadi populis dalam isu KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), tidak kesah rakyat tiada pendapatan selepas bersara (kerana) mereka nak popular dan gunakan isu KWSP untuk menghadapi PRN (Pilihan Raya Negeri).

“Kita berdepan dengan pakatan yang memainkan isu kaum, tidak peduli dengan komposisi Kabinet yang hanya (menyatakan) ia dimonopoli oleh kaum tertentu, tidak peduli soal Sabah, Sarawak dan bercakap tanpa rasa tanggungjawab.

“Lebih bahaya, sebahagian pemimpin politik membawa pemikiran politik Islam berbeza daripada kita dalam dewan ini,” katanya pada Konvensyen Pemuda dan Puteri Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Ahad.

Dalam pada itu Mohd Hasmi berkata, semua ahli parti yang hadir pada konvensyen berkenaan perlu menggunakan medan itu mencari titik persamaan dan wujudkan persefahaman dalam mewujudkan kerjasama lebih erat mendepani PRN di enam negeri akan datang.

“Tidak ada poltik yang lebih bahaya daripada politik melihat hanya kumpulan mereka yang menuju ke syurga dan lawan mereka akan pergi ke neraka.

“Ini masalah besar dan saya yakin, walaupun ada antara kita kadang-kadang tergelincir namun masih ada had sempadan. Saya yakin semua parti yang bernaung di bawah Kerajaan Perpaduan memilih jalan tengah, memilih titik perpaduan kerana kita sayangkan negara,” ujarnya.