Lapangan terbang antarabangsa seluruh Australia sesak

Penumpang terpaksa beratur panjang akibat gangguan sistem komputer tersebut. - Foto AdamLiaw/ Twitter
Penumpang terpaksa beratur panjang akibat gangguan sistem komputer tersebut. - Foto AdamLiaw/ Twitter
A
A
A

CANBERRA - AUSTRALIA Gangguan sistem e-gate di kesemua lapangan terbang antarabangsa di Australia telah menyebabkan kelewatan penumpang yang mahu berlepas dan tiba di negara itu pada hari ini.

Pasukan Sempadan Australia (ABF) yang bertanggungjawab untuk keselamatan imigran dan kastam memaklumkan mereka cuba menyelesaikan gangguan sistem IT tersebut.

"Kami telah menempatkan staf tambahan ABF untuk memproses dokumen perjalanan penumpang dan mengurangkan kelewatan. Penumpang diminta tiba di lapangan terbang lebih awal untuk memberi masa tambahan kepada proses itu," kata ABF dalam satu kenyataan.

Pengguna media sosial turut berkongsi gambar menunjukkan ramai penumpang terpaksa beratur panjang akibat masalah itu.

"Mesin elektronik kastam tidak berfungsi. Ia menyebabkan 'kesesakan' yang teruk," kata penumpang, Lisa McLean menerusi Twitter tentang situasi di lapangan terbang Sydney.

Sementara itu, Lapangan Terbang Brisbane dalam satu kenyataan memberitahu gangguan sistem komputer tersebut telah menjejaskan kesemua pintu pasport elektronik. - DPA

Artikel Berkaitan: