FAM gesa pemimpin bola sepak Malaysia timba ilmu dari WFS Asia
Hamidin Mohd Amin
A
A
A
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, sidang kemuncak yang julung kali diadakan di Asia itu adalah satu peluang untuk para anggota gabungan FAM untuk mengemaskinikan diri dengan trend-trend dan isu-isu terbaru bola sepak.
“Saya menggesa rakan-rakan pemimpin bola sepak di Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan dengan mereka yang hadir dan mengumpul seberapa banyak maklumat yang mungkin dalam usaha untuk mengemaskinikan diri dalam isu-isu dan trend terbaru (bola sepak).
“Dengan penganjuran sidang kemuncak ini di Kuala Lumpur, Malaysia dan Asia akan meraih manfaat besar kerana para pemimpin bola sepak terbaik akan berkumpul di sini buat pertama kalinya dan boleh didekati dalam satu acara besar-besaran yang pertama kali diadakan di rantau ini,” kata beliau dalam ucapan perasmiannya hari ini.
Ini adalah kali pertama WFS diadakan di luar Eropah, yang sebelum ini diadakan dengan jayanya di Madrid, Sepanyol.
“Maklum balas yang diterima daripada beberapa sidang kemuncak yang diadakan sebelum ini adalah amat positif. Secara peribadi, setelah menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia di Madrid dua kali sebelum ini, saya berasa dialog-dialog dan perbincangan meja bulat yang diadakan amat berguna dan menjadi ‘pembuka mata’ yang baik.
“Sama ada topik perbincangan berkisar mengenai pengurusan kewangan, mekanisme percukaian untuk diselaraskan dengan pengkomersialan sukan bola sepak hari ini ataupun pertikaian kontrak, sidang kemuncak inilah tempatnya bagi semua pemimpin bola sepak," kata beliau.
WFS Asia, yang disasarkan sebagai acara antarabangsa penting untuk industri bola sepak di Asia, dilihat sebagai platform paling tepat untuk para penggiat bola sepak dan pemimpin industri menjalin rangkaian hubungan.
Lebih 2,000 orang dari 100 negara berkumpul di Pusat Konvensyen Sunway selama dua hari untuk menghadiri WFS Asia, yang akan menyaksikan pepembentangan oleh 60 pembentang.
Lebih 30 wakil daripada persatuan-persatuan gabungan FAM telah mendaftar untuk menghadiri WFS Asia itu. – Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!