Gugur status agama: Itu cadangan jahat, kata Pemuda Pas

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Pemuda Pas menyifatkan cadangan Senator Nga Hock Cheh daripada DAP agar menggugurkan status agama daripada kad pengenalan sebagai tidak prihatin dengan sensitiviti rakyat di Malaysia.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, tidak prihatin serta tidak peka dengan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

Menurutnya, kenyataan sebegitu sememangnya akan membangkitkan kemarahan orang ramai malah beliau dilihat seperti cuba menguji tahap kesabaran masyarakat.

"Tidakkah beliau sebagai peguam dan ahli politik tahu isu sebegini cukup sensitif, boleh mendatangkan kesan negatif serta memudaratkan masyarakat jika di tidak ditangani dengan cermat dan bertanggungjawab.

"Untuk apa beliau membangkitkan isu sebegini? Ternyata dengan membangkitkan isu ini, beliau sengaja menimbulkan kemarahan orang ramai dan berniat jahat," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Rabu lalu, Hock Cheh dalam sidang Dewan Negara berkata, antara sebab yang menghalang perpaduan dalam negara berlaku adalah kerana setiap individu diberikan identiti mengikut kaum, bukan identiti nasional.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar status agama dalam kad pengenalan digugurkan. Bagaimanapun, cadangan itu menerima kritikan ramai.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil turut menyelar tindakan Hock Cheh yang mencadangkan agar negara ini membuka kedutaan Israel.

"Semenjak DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan dan parti komponen dalam PH memenangi PRU14, kita boleh lihat banyak kenyataan-kenyataan di keluarkan pimpinan mereka mencetuskan kontroversi.

"Apa lagi yang DAP mahu lagi sebenarnya, tidak cukup lagikah permainan politik yang kotor dan keji sebegini di mainkan?," soalnya.

ARTIKEL BERKAITAN Cadangan berniat jahat, tak bertanggungjawab

Artikel Berkaitan: