TNB ceburi perniagaan infrastruktur Gentian Optik

A
A

TENAGA Nasional Bhd (TNB) bersedia menerokai perniagaan kesalinghubungan yang menyediakan infrastruktur gentian optik bagi jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) berikutan kejayaan projek perintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Jasin, Melaka.

Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie berkata, TNB melihat wujud potensi dalam perniagaan kesalinghubungan dan mempertimbangkan secara berhati-hati untuk menceburi bidang ini.

"Kami cukup bersedia untuk mengambil bahagian pada tahap tertentu dalam bidang-bidang yang terpilih bagi inisiatif kesalinghubungan untuk kelajuan jalur lebar.

"Kejayaan di Jasin menunjukkan bahawa selagi akses daripada pihak ketiga tidak dibenarkan untuk melampaui titik tertentu dalam infrastruktur grid, ia sudah cukup baik bagi mencerminkan jaminan dalam keselamatan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata berdasarkan kepada projek rintis itu, sokongan daripada kerajaan amat diperlukan jika syarikat mahu memasang infrastruktur gentian optik di kawasan luar bandar berikutan pelaburan yang diperlukan agak besar.

"Jika kami ingin menceburi bidang-bidang yang serupa itu (Jasin), kami perlu berbincang dengan kerajaan," katanya.

Bagaimanapun, syarikat juga menyaksikan beberapa kelompangan dalam kawasan bandar yang kekurangan akses internet berkelajuan tinggi di mana TNB boleh memainkan peranan tanpa membebankan kerajaan.

Selain itu, beliau berkata sebagai sebuah syarikat tersenarai awam, TNB perlu memikirkan pulangan daripada pelaburan dalam perniagaan kesalinghubungan.

"Kalau kami mahu menceburi bidang ini, perniagaan tersebut harus berbaloi kepada TNB," katanya.

Katanya, disebabkan perniagaan itu memerlukan kepakaran yang berbeza daripada perniagaan terasnya iaitu bekalan elektrik, syarikat juga perlu mempertimbangkan keupayaan sumber manusia untuk menguruskan perniagaan tersebut.

Projek perintis NFCP membolehkan tiga kawasan kediaman yang terdiri daripada 1,100 isi rumah untuk menikmati kelajuan Internet yang mencecah 1Gbps pada harga yang berpatutan melalui pakej-pakej perkhidmatan jalur lebar yang ditawarkan oleh lapan pemberi perkhidmatan sedia ada.

Leo Moggie ketika bercakap mengenai satu perkembangan lain, memberitahu TNB sedang membangunkan ibu pejabatnya di Bangsar kepada ibu pejabat bergaya kampus yang dilengkapi dengan pusat Islam, dewan konvensyen, pejabat persatuan dan pusat interaktif untuk tenaga elektrik.

Katanya, ibu pejabat baharu ini dirancang untuk mempunyai suasana gaya kampus dengan persekitaran hijau seperti sebuah taman bagi keselesaan kakitangan.

"Konsep ini mencerminkan bahawa golongan muda akan menjadi pendorong ke arah masa hadapan," katanya.

Ibu pejabat baharu itu diiktiraf dengan pensijilan Indeks Bangunan Hijau (CBI) dengan penarafan GBI Platinum, ia akan dipasang dengan bumbung panel solar, sistem pungutan sampah bersepadu automatik, dinding kaca dua lapis, bumbung hijau dan sistem pengumpulan air hujan.

Ia dijangka siap menjelang 19 Mei 2021 manakala Pusat Islam TNB akan siap pada 31 Mei tahun ini. – Bernama