Pioli percaya peluang Milan belum padam

Pioli
Pioli
A
A
A

PENGENDALI AC Milan, Stefano Pioli kekal optimis peluang pasukannya walaupun tewas 0-2 kepada Inter Milan pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di San Siro pada Khamis.

Inter meraih dua gol awal menerusi Edin Dzeko dan Henrikh Mkhitaryan memiliki kelebihan besar pada perlawanan kedua di San Siro minggu depan.

“Realitinya ialah Inter beraksi lebih baik pada separuh masa pertama, menjaringkan dua gol, itu hakikat perlu diterima Milan.

“Bagaimanapun Milan menunjukkan peningkatan persembahan apabila bangkit menyaingi lawan pada separuh masa kedua.

“Namun seperti kebiasaannya deretan peluang menjaringkan gol gagal diterjemahkan dalam bentuk penyudah iaitu gol,” kata Pioli.

Kekalahan kepada Inter adalah kekalahan ketiga Milan dalam satu musim, sesuatu yang tidak pernah dialami kelab merah hitam tersebut sejak kempen 1994/95.

Sebagai rekod, Milan memperoleh kemenangan 3-2 ke atas Inter dalam Serie A pada September sebelum mengalami kekalahan berturut-turut, 3-0 dalam Piala Super Itali dan 1-0 dalam Serie A.

Bagaimanapun, Pioli memuji ketabahan pasukannya apabila berusaha kekal di landasan untuk memenangi Piala Eropah buat kali kelapan, 16 tahun selepas kejayaan terakhir pada 2007.

“Kami mempunyai peluang pada separuh masa kedua jadi secara semula jadi, pada perlawanan kedua, kami memerlukan lebih kualiti dan sikap yang lebih agresif,” katanya

Dalam pada itu, penyerang Rafael Leao terlepas perlawanan tersebut selepas mengalami kecederaan, namun Pioli percaya pemain Portugal berkemungkinan cergas untuk perlawanan kedua.

"Dia tidak berada dalam sebarang keadaan untuk bermain hari ini, ada enam hari lagi dan kami berharap dia akan bersedia," katanya.

Juara Itali musim lalu Milan hanya memenangi dua daripada enam perlawanan domestik terakhir dan berada di luar empat teratas dalam kedudukan dengan baki empat perlawanan.