Budak perempuan ditembak ketika main sembunyi-sembunyi

David Doyle - Foto Agensi
David Doyle - Foto Agensi
A
A
A

NEW ORLEANS - Seorang lelaki didakwa selepas tidak sengaja menembak seorang budak perempuan yang sedang bermain sembunyi-sembunyi di luar kawasan rumahnya di pinggir bandar Louisiana, lapor BBC.

Bagaimanapun, budak perempuan berusia 14 tahun itu hanya mengalami cedera ringan dan dibawa ke hospital selepas terkena tembakan di bahagian kepala.

Suspek, David Doyle, 58, yang didakwa melakukan serangan melulu memberitahu pegawai bahawa tembakan dibuat selepas melihat bayang-bayang di luar rumahnya.

Insiden ini adalah siri tembakan terbaharu yang dicetuskan akibat salah faham.

Polis yang menerima panggilan mengenai kejadian itu yang berlaku di bandar Starks pada pagi Ahad telah bergegas ke lokasi kejadian dan melihat mangsa mengalami kecederaan sebelum memberkas Doyle pada hari sama.

Menurut kenyataan media disiarkan pegawai di Pejabat Syerif Daerah Calcasieu menyatakan bahawa semasa kejadian, beberapa kanak-kanak sedang bermain sembunyi-sembunyi di kawasan kejiranan tersebut.

"Pemilik rumah, Doyle menyatakan dia melihat bayang-bayang di luar rumahnya dan masuk mengambil senjata api dan melepaskan tembakan terkena kanak-kanak itu," katanya.

Doyle masih dalam tahanan reman sehingga Selasa selepas dia ditangkap pada hari kejadian. - Agensi