LIMA'23: Lima negara sertai pertunjukan aerobatik

Affendi beramah mesra dengan pengamal media pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM yang diadakan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto ROSLI TALIB/SINAR HARIAN
Affendi beramah mesra dengan pengamal media pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM yang diadakan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto ROSLI TALIB/SINAR HARIAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima negara terlibat dalam pertunjukan aerobatik sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, antara yang mengambil bahagian adalah pasukan aerobatik udara dari Rusia, China, Indonesia, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Kita jangka segmen pertunjukan udara bagi LIMA tahun ini meriah kerana kalau ada lima negara buat sekali, kita boleh nampak semangat bertanding antara mereka.

"Kita akan dapat satu pertunjukan yang menggerunkan dan diharap cuaca tidak hujan," katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira di sini pada Rabu.

Menurutnya, cuaca panas berpanjangan ketika ini dilihat tidak mengganggu persiapan khususnya bagi pasukan pertunjukan udara, namun ruang untuk pengunjung mungkin terhad berikutan suhu tinggi di sekitar landasan kapal terbang.

Affendi berkata, lebih 600 syarikat daripada 60 negara akan mengambil bahagian dalam LIMA kali ini berbanding 400 syarikat pada edisi terakhir sebelum ini.

"Saya berharap cuaca baik dan suhu menurun sedikit, bagaimanapun keadaan cuaca ini di luar kawalan kita.

"Bagaimanapun, saya pasti orang ramai mahu melihat pertunjukan ini selepas kaki terakhir pada 2019," katanya.