Amelia Henderson fail rayuan kes pelanggaran kontrak

Amelia
Amelia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelakon, Amelia Henderson telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini pada 18 April lalu, berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama, tahun lalu.

Peguam, Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Amelia mengesahkan perkara berkenaan, namun tidak boleh mendedahkan secara terperinci alasan utama rayuan dibuat.

"Saya hanya boleh memaklumkan, rayuan ialah membabitkan keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini," katanya selepas dihubungi media, pada Rabu.

Pada 7 April lalu, Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, selaku defendan membayar lebih RM200,000 kepada A Aida Production iaitu, bayaran pertama RM3,920; ganti rugi am fitnah RM90,000 dan kos penggambaran drama itu sebanyak RM101,325 selain kos RM18,000 (guaman A Aida).

Hakim, Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas mendapati Amelia selaku defendan telah melanggar terma-terma kontrak dalam filem 'Sekali Lagi Cinta Kembali'.

Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

A Aida bersama sutradara drama, Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rizal Baharuddin, sepakat membawa perkara tersebut ke muka pengadilan sekali gus memberi pengajaran kepada dua pelakon terbabit.

Bagaimanapun, saman melibatkan A Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu.