Tepati ramalan, Shuk juara Super BBB2019

SHUK. Foto: ZAHID IZZANI
SHUK. Foto: ZAHID IZZANI
A
A
A

PERCATURAN pelawak, Shuk untuk tampil dengan parodi drama Nur 2, ternyata membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara Super Bintang Bersama Bintang 2019 (BBB 2019) yang berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Pada persembahan akhir itu, Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohammed Sahar, membawakan watak Ustaz Adam, tampil bersama pelawak Jihan Muse selaku Nur dan Azhan Rani mengekalkan watak Ustaz Hamadi.

Selain itu, Shuk turut berduet dengan Jihan dalam menyampailan lagu Tak Pernah Hilang dan Haram.

Kemenangan Shuk, 33, sekali gus membuatkan empat peserta lain iaitu Achey, Mamak Puteh, Chiwon dan Sharif Zero terpaksa melupakan impian mereka untuk membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai bernilai RM100,000.

BBB 2019 berlainan dengan program lawak lain, di mana setiap minggu menawarkan RM10,000 wang tunai sebagai ganjaran bagi pelawak yang berjaya meraih markah tertinggi.

Setiap peserta perlu menggunakan masa yang diperuntukkan untuk setiap persembahan iaitu enam minit secara keseluruhannya iaitu sketsa empat minit dan persembahan nyanyian selama dua minit.

Peserta juga dibenarkan membawa seorang selebriti jemputan untuk memantapkan dan menyerikan lagi persembahan mereka dan pada pentas akhir ini, selain Jihan dan Azhan, Chiwan telah memilih untuk tampil bersama sifunya, Datuk Afdlin Shauki, Mamak Puteh bersama Fikry Ibrahim, Achey menjemput Black dan Sharif Zero memilih Heliza Helmi sebagai pasangannya.

BBB 2019 dihoskan oleh Elly Mazlein manakala Saiful Apek dan Mark Adam bertindak sebagai juri tetap.

Artikel Berkaitan:

Di dalam BBB 2019, juri mahukan setiap pelawak tidak hanya berlawak semata-mata untuk membuatkan penonton tertawa malah tetap mempunyai mesej yang dapat dijadikan tauladan dalam sketsa mereka. Markah setiap pelawak ditentukan oleh juri tetap (60%) dan undian penonton di laman www.xtra.com.my/BBB2019 (40%).