Shereen tepati ramalan raih emas

Shereen meraikan kejayaan selepas memenangi emas acara 400m wanita Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh pada Selasa. - Foto AFP
Shereen meraikan kejayaan selepas memenangi emas acara 400m wanita Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh pada Selasa. - Foto AFP
A
A
A

[DIKEMAS KINI] ATLET olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila memenangi pingat emas acara 400 meter (m) akhir wanita Sukan SEA Kemboja 2023.

Dalam saingan yang berlangsung di Stadium Morodok Techo, Phnom Penh pada Selasa, rentak larian Shereen yang berpangkalan di Amerika Syarikat sukar digugat barisan pencabarnya.

Tampil sebagai antara prospek kontinjen Malaysia meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA kali ini, Shereen melintasi garisan penamat dengan catatan masa 52.53 saat (s).

Catatan itu sudah cukup untuk menumpaskan pesaing terdekatnya dari Vietnam, Nguyen Thi Huyen yang merekodkan 53.27s, manakala Nguyen Thi Hang di tempat ketiga, 53.84s.

Sebelum ini, pelari berusia 24 tahun itu meleburkan rekod kebangsaan acara 400m yang berusia 30 tahun milik Allahyarham Rabia Abdul Salam yang mencatat 52.56s ketika melakukannya di Filipina pada 1993.

Shereen berjaya memadam rekod berkenaan menerusi catatan masa 51.80s yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California bulan lalu.

Sebelum itu, Shereen empat kali meleburkan rekod kebangsaan acara 400m dalam dewan dengan terbaharu ketika memenangi emas Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia.

Umar cipta sensasi di Kemboja 2023

Dalam pada itu, atlet muda negara, Umar Osman mencipta kejutan apabila meraih pingat emas acara 400 meter (m) lelaki Sukan SEA Kemboja 2023 pada Selasa.

Tampil buat kali pertama di pentas Sukan SEA, Umar yang tidak diletakkan sebarang harapan untuk memenangi pingat emas berjaya merekodkan masa 46.34 saat (s).

Dalam acara yang berlangsung di Stadium Morodok Techo, Phnom Penh itu, larian bertenaga Umar kira-kira 50m terakhir memastikan kilauan emas menjadi miliknya.

Lebih manis, catatan masa dilakar Umar itu juga memecahkan rekod kebangsaan milik Mohd Zaiful Zainal Abidin (46.41s) pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2001.

Pingat perak dan gangsa menjadi milik atlet Filipina, Umajesty Wesley yang merakamkan masa 46.52s dan Frederick Cabatu (46.63s).

Selepas mencipta kejutan memenangi emas acara 400m, kelibat pelari berusia 20 tahun itu pastinya menjadi tumpuan apabila dia turun beraksi dalam saingan 4x400m.