Lelaki ditahan buat kenyataan perkauman, hasutan di Twitter

Noorsiah
Noorsiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki memuat naik dua kenyataan bersifat provokasi perkauman dan berunsur hasutan di media sosial, Twitter.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek berusia 33 tahun itu diberkas dalam serbuan di Bagan Serai, Perak, pada Isnin.

"Individu itu disyaki telah memuat naik dua kenyataan bersifat provokasi perkauman dan berunsur hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Kita turut merampas sebuah telefon bimbit dan sekeping kad sim milik suspek," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Noorsiah berkata, kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis bagi membantu siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan, mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci kepada agama, bangsa, kaum, raja dan seumpamanya yang boleh mencetuskan kepada ketidakharmonian dan menjejaskan perpaduan.

"Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat," katanya.