Ansuran bulanan Ihsan-i bertambah, berkurang ikut perubahan OPR

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menyatakan ansuran bulanan pembiayaan peribadi patuh Syariah Ihsan-i iaitu kemudahan di bawah program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) boleh bertambah atau berkurang tertakluk kepada perubahan kadar dasar semalaman (OPR).

MBSB Bank dalam kenyataan berkata, bagaimanapun jumlah keseluruhan ansuran bulanan yang dibayar tidak boleh melebihi harga jualan.

Menurut kenyataan itu, harga jualan berkenaan telah dimaklumkan kepada pelanggan menerusi tawaran pembiayaan yang perlu dipersetujui.

"Merujuk kepada hantaran media sosial yang tular semalam, baki pembiayaan yang tertera sebanyak RM35,601.12.

"Ia adalah harga jualan berdasarkan kepada kadar keuntungan siling 15.0 peratus bagi tempoh 10 tahun.

"Namun sekiranya OPR tidak berubah sepanjang tempoh pembiayaan dan kadar keuntungan kekal pada 4.5 peratus, jumlah ansuran bulanan yang akan dibuat adalah RM22,749.48 dan bukannya dua kali ganda," kata kenyataan itu.

Menurut MBSB Bank, Ihsan-i menggunapakai konsep Tawarruq dan antara kelebihan pembiayaan itu adalah ansuran bulanan yang rendah pada tahun pertama kerana pelanggan hanya perlu membayar bayaran keuntungan, tiada caj proses ataupun caj penamatan awal.

"Ihsan-i juga akan memberi rebat atau Ibra’ dari jumlah keuntungan sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal.

"Kadar keuntungan Ihsan-i adalah sangat kompetitif berbanding dengan kadar pembiayaan peribadi sedia ada," jelas kenyataan itu.