Isu OPR: Rafizi ingatkan Hassan jangan ikut rentak pembangkang

Rafizi Ramli (kiri), Hassan Karim.
Rafizi Ramli (kiri), Hassan Karim.
A
A
A

AMPANG - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menasihati Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak terikut-ikut dengan rentak dimainkan pembangkang berhubung isu kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

Rafizi berkata, isu berkenaan telah dijelaskan secara panjang lebar kepada Hassan sehari sebelum ahli Parlimen tersebut membuat kenyataan secara terbuka di media sosial.

"Saya ada nasihatkan juga yang dia boleh hubungi terus Perdana Menteri atau saya dan kami sudah berikan penjelasan kepadanya. Saya ingat lepas berikan penjelasan dia tak buat kenyataan tapi dia buat juga.

"Saya faham masing-masing membawa isu rakyat. Itu hak dia dan saya tahu media akan ambil tetapi perkara itu berada dalam kawalan.

"Prinsip kita untuk memastikan bahawa kuasa cetak dan pinjam duit yang banyak ini jangan semuanya diletakkan kepada tangan menteri," katanya pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pandan di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Hassan yang meminta penjelasan daripada Perdana Menteri dan Rafizi berhubung kenaikan OPR naik pada 3 Mei lalu yang sebelum ini dinafikan.

Hassan berkata, penjelasan tersebut penting terutama tidak lama lagi Kerajaan Perpaduan akan berdepan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Rafizi berkata, keputusan undian rakyat bukan bergantung kepada isu OPR atau KWSP semata-mata tetapi turut dipengaruhi banyak faktor lain.

"Setakat ini, penerimaan rakyat terhadap pengurusan ekonomi oleh Kerajaan Perpaduan nampak baik, walaupun tidak diumumkan tapi saya mengikuti dengan dekat.

"Dari sebulan ke sebulan, tahap penerimaan dan pandangan positif kepada masa depan ekonomi telah meningkat," katanya.

Tegas beliau, kerajaan tidak mencampuri kenaikan OPR kerana menghormati kebebasan Bank Negara dalam menguruskan aliran wang bagi jangka masa panjang.

"Prinsip kebebasan itu, supaya ada timbang tara antara kerajaan yang membelanjakan wang dengan Bank Negara yang mengawal aliran wang bagi memastikan pinjaman tidak keterlaluan dan berbelanja secara berlebihan.

"Prinsip ini yang akan saya pertahankan dan saya rasa Hassan telah mendapat penjelasan panjang lebar mengenai perkara itu," katanya.

Ditanya kemungkinan Hassan dikenakan tindakan susulan kritikan terbuka itu, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, tiada sebarang tindakan akan diambil ke atas Hassan kerana menghormati pandangan semua pihak baik daripada wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang.

"Saya yakin dalam sedikit masa lagi apabila kayu ukur seperti Inflasi makin kurang dan mula tumpukan kepada dasar-dasar untuk sasaran kenaikan gaji, rakyat akan faham.

"Mentadbir ekonomi negara tidak boleh kita melompat setiap kali ada ada orang melompat. Kena dengar dan ambil tahu semua perkara tetapi merangka dan menguruskan ekonomi negara adalah kerja jangka panjang," katanya.