Kehadiran PM, isteri ubati duka pengantin kematian ibu

Anwar dan Dr Wan Azizah Wan bergambar bersama pasangan pengantin Mohammad Farhan dan Nurul Fatienul ketika menghadiri majlis kenduri kahwin pasangan itu di Kampung Pelet, pada Sabtu. - Foto Bernama
Anwar dan Dr Wan Azizah Wan bergambar bersama pasangan pengantin Mohammad Farhan dan Nurul Fatienul ketika menghadiri majlis kenduri kahwin pasangan itu di Kampung Pelet, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke rumah kenduri kahwin di Kampung Pelet, di sini mengubati duka pengantin lelaki yang kematian ibunya pada Jumaat.

Anwar dan isteri tiba di rumah pengantin pada jam 4.20 petang sebelum bertemu pasangan pengantin, Mohd Farhan Mohd Mohd Noor, 29, dan Nurul Fateinul Ain Mazlan, 26.

Seterusnya, Perdana Menteri dan isteri menjamu selera sebelum beramah mesra dengan tetamu yang hadir serta turut sempat meluangkan masa bergambar dengan pengantin serta ahli keluarga untuk kenang-kenangan.

Anwar dan Wan Azizah meluangkan masa di majlis kenduri kahwin itu kira-kira 20 minit dan tetamu yang hadir turut mengambil peluang bergambar dengan Perdana Menteri serta isteri.

Mohd Farhan yang ditemui berkata, dia langsung tidak menjangka akan kehadiran Perdana Menteri dan isteri ke majlis perkahwinannya hari ini malah turut terkejut apabila dimaklumkan mengenai kehadiran pemimpin nombor satu negara itu.

Anwar bersama Dr Wan Azizah Wan ketika menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Pelet, pada Sabtu. - Foto Bernama
Anwar bersama Dr Wan Azizah Wan ketika menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Pelet, pada Sabtu. - Foto Bernama

Mohd Farhan yang bekerja sendiri berkata, dia dimaklumkan kehadiran Anwar dan Wan Azizah ke majlisnya hari ini adalah atas jemputan daripada arwah ibunya Sabariah Darus, 54, yang merupakan kenalan lama kepada Perdana Menteri.

Dia percaya jika ibunya masih ada, pasti arwah yang paling gembira dengan kehadiran Anwar dan isteri ke majlis perkahwinannya hari ini kerana memang itu hajatnya yang mahu Perdana Menteri hadir di kenduri itu.

"Benda memang tidak dijangka langsung (kehadiran perdana menteri) kerana mak saya baru sahaja meninggal 6.40 pagi semalam kerana kegagalan buah pinggang...saya dan keluarga masih dalam keadaan sedih sebenarnya kerana kematian mak.

"Tapi dengan kehadiran Perdana Menteri tadi, saya dan semua gembira..ini sekurang-kurangnya dapat mengubat duka dengan kematian mak...perasan sekarang ini bercampuk aduk, lagipun saya tak jangka yang perdana menteri datang untuk raikan kami," katanya.

Mohd Farhan yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik mengucapkan ribuan terima kasih kepada perdana menteri dan isteri kerana hadir ke majlis perkahwinannya.

Majlis akad nikah Mohd Farhan dan Nurul Fateinul Ain berlangsung pada 29 April lepas di Kota Bahru, Kelantan dan ketika itu Sabariah turut tidak dapat menghadirinya kerana telah dimasukkan ke hospital ekoran mengalami masalah buah pinggang. - Bernama