United janji kebangkitan

Ten Hag - Foto Agensi
Ten Hag - Foto Agensi
A
A
A

MANCHESTER United akan bangkit untuk memastikan peluang Red Devils meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara pada musim depan tidak terlepas.

Jurulatihnya, Erik ten Hag percaya para pemain sudah melupakan kekecewaan tewas kepada Brighton untuk kembali memburu kemenangan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham awal pagi Isnin.

"Kami perlu berada dalam saingan Liga Juara-Juara. Kami mahu mencabar pasukan terbaik dunia," katanya.

Penalti Alexis Mac Allister pada masa kecederaan membolehkan Brighton menang 1-0 yang memaksa anak buah ten Hag hanya empat mata di atas Liverpool di tangga kelima

United bagaimanapun berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Kekalahan itu adalah satu tamparan, namun United mampu menebus kekecewaan tersebut dengan ten Hag optimis dengan kelayakan Liga Juara-Juara dalam genggaman.

“Semangat pemain berbeza pada musim ini, apabila kami mengalami kekalahan, kami bangkit.

“Jadi, saya bergantung kepada pemain dan pasukan saya. Kami perlu bangkit sekali lagi," katanya.

Justeru ten Haq mahu para pemain fokus kepada baki lima perlawanan sebelum saingan EPL menutup tirai musim ini.

“Tiada masa untuk kekal dalam (kekecewaan). Kami akan meneruskan perlawanan menentang West Ham. Semua fokus kepada perlawanan itu.

“Kami akan membuat perancangan yang baik, pemain perlu bertanggungjawab dan mereka akan melakukannya. Saya bergantung kepada mereka," katanya.