Hidup musnah angkara judi

Kegiatan perjudian memberikan kesan buruk bukan sahaja kepada kaki judi malah kepada keluarga dan masyarakat.
Kegiatan perjudian memberikan kesan buruk bukan sahaja kepada kaki judi malah kepada keluarga dan masyarakat.
A
A
A

SHAH ALAM - Akibat kalah dan ketagihan untuk bertaruh dalam perjudian menyebabkan pelakunya hilang kewarasan hingga tergamak mendera pasangan.

Sikap tamak menjadi punca individu berkenaan terjebak dengan gejala negatif pertaruhan itu.

Bahkan, kerana ketagihan itu, hampir 60 peratus masalah keganasan rumah tangga dikesan akibat pasangan terlibat dalam perjudian.

Ada juga kes yang diterima membabitkan pelaku sanggup memajak rumah selain membuat pinjaman along hingga ribuan ringgit.

Mendedahkan kepada Sinar Harian, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Klang, Datuk Tan Bok Koon berkata, berdasarkan aduan yang dibuat oleh mangsa, ketagihan berjudi mengakibatkan seseorang itu sanggup mengambil apa sahaja langkah bagi memastikan keinginan untuk berjudi tercapai.

“Malahan apa yang membimbangkan, peratusan pasangan yang menjadi mangsa penderaan didapati mencatat peratusan tertinggi iaitu sebanyak 60 peratus berpunca gara-gara pasangan mereka terlibat dalam perjudian.

“Niat orang yang mahu berjudi ini satu sahaja, mereka nak menang dalam pertaruhan, namun tak semudah disangka, dan sekiranya gagal, inilah yang mengakibatkan timbulnya sifat panas baran dalam diri.

“Lebih menyedihkan ada antara kes yang mana kemarahan itu dilepaskan kepada ahli keluarga sendiri terutamanya isteri apabila mereka kalah judi,” katanya.

Bok Koon berkata, kaki judi akan bertaruh dalam apa juga nilai biarpun serendah RM10.

Ujarnya, seakan menjadi pendorong kepada kaki judi, mereka akan mula menggandakan wang taruhan dengan harapan untuk beroleh hasil yang lumayan.

“Selalu kita dengar ayat ‘masuk RM10 cuci RM30’, dengar memang nampak seolah-olah ada untung, tapi kita perlu tahu itu hanya taktik sindiket kegiatan judi terutamanya judi dalam talian untuk menarik kaki-kaki judi baharu.

“Bagaikan satu ketagihan, mereka akan menggandakan lagi wang pertaruhan hingga melibatkan ribuan ringgit.

“Harus diingat bahawa tidak semua yang dipertaruhkan akan mendapat hasil kerana perjudian merupakan satu percubaan nasib semata-mata, mungkin peringkat awal sahaja mereka menang, selepas itu tidak lagi,” tambahnya.

Taktik sindiket perangkap mangsa

Menurut Bok Koon, pihaknya mengesan terdapat tawaran pertaruhan wang menerusi dalam talian.

Ujarnya lagi, taktik ini dilakukan sindiket dengan memerangkap mangsa keuntungan di peringkat awal hinggalah pertaruhan dibuat dalam amaun yang besar.

“Awalnya mereka bagi menang dalam sejumlah wang yang dipertaruhkan, namun setelah itu, apabila pertaruhan semakin banyak, maka bermulalah detik hitam bagi kaki judi ini.

“Taktik ini mengakibatkan mangsa sentiasa menambah wang pertaruhan bermula daripada kadar kecil sehingga besar semata-mata untuk menang pertaruhan, sebaliknya perkara tersebut tidak berlaku,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan aduan diterima, ada mangsa mendakwa mereka diarahkan memasukkan wang ke dalam akaun judi yang disediakan bagi mendapatkan nilai kredit untuk membolehkan mereka bermain judi di mana-mana platform aplikasi judi dalam talian.

Pelbagai aduan diterima Biro Pengaduan Awam MCA Klang berkaitan kes penderaan melibatkan isteri kaki judi.
Pelbagai aduan diterima Biro Pengaduan Awam MCA Klang berkaitan kes penderaan melibatkan isteri kaki judi.

“Mangsa mendakwa mereka akan dihubungi oleh seorang individu bagi menawarkan permainan judi dan pembukaan akaun judi menggunakan laman web yang dibekalkan oleh penyelia.

“Bagaimanapun, wang yang dipertaruhkan mangsa lebur begitu sahaja tanpa sebarang hasil,” katanya.

Jelas Bok Koon, berdasarkan aduan diterima pihaknya, ada pasangan kepada kaki judi ini mendakwa kediaman yang didiami mereka hampir dilelong selepas dicagar dalam pertaruhan.

Katanya lagi, ada juga kes di mana pelaku sanggup membuat pinjaman along untuk berjudi.

“Mereka meminjam along dalam jumlah yang banyak untuk dipertaruhkan, malangnya mereka kalah sedangkan wang yang dipinjam itu perlu dibayar,” ujarnya.

Tambahnya, jumlah ini bukan sedikit tetapi mencecah ratusan ribu ringgit.

“Keadaan semakin mendesak apabila kadar bunga yang dikenakan oleh along semakin tinggi.

“Ada kes yang kita terima, peminjam ini terpaksa hidup berpindah-randah gara-gara meminjam along untuk bertaruh,” jelasnya.

Lambakan iklan judi

Dalam pada itu, kata Bok Koon, lambakan iklan judi terutamanya judi dalam talian perlu dibanteras sehabisnya.

Jelasnya, judi dalam talian adalah kaedah judi baharu yang disifatkan lebih mudah dan cepat bagi kaki judi.

Antara barangan elektronik yang dirampas menerusi serbuan di premis judi.
Antara barangan elektronik yang dirampas menerusi serbuan di premis judi.

“Di sebalik ‘keuntungan’ yang dinyatakan, kesan kepada mereka yang melibatkan diri dalam judi dalam talian ini lebih besar keburukannya,” katanya.

Tambahnya, lebih membimbangkan terdapat iklan judi yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp atau sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pengguna.

Ujarnya, lambakan iklan judi memberikan perspektif negatif kepada negara sekali gus membawa banyak kesan buruk terhadap masyarakat.

“Kita tidak mahu kaki judi menjadi semakin gian berjudi gara-gara kemudahan akses untuk berjudi ini.

“Saya berharap dalam soal ini semua pihak harus memainkan peranan dengan memastikan ia dapat segera dibendung dan diatasi,” katanya.

Ujarnya, perjudian membawa banyak keburukan sekali gus memberikan kesan kepada kehidupan harian.

“Tanggapan bahawa bermain judi dapat menjana pendapatan lumayan adalah stigma mengarut serta dangkal.

“Kalau nak berjaya dan hidup mewah, rancanglah kewangan sama ada berniaga atau sebagainya asalkan tidak menyalahi undang-undang.

“Jangan sesekali terlibat dalam aktiviti perjudian kerana ia akan mengakibatkan hidup dan masa depan seseorang individu itu musnah,” nasihatnya.

Suami berubah setelah terjebak judi

Hidup Sera (bukan nama sebenar) dahulunya bahagia bersama suami tercinta dan dua anak yang masih kecil berumur 10 dan 12 tahun.

Bibit hitam mula melanda kehidupan Sera apabila suaminya yang merupakan seorang romantis dan penyayang secara tiba-tiba bertukar menjadi panas baran dan kaki pukul.

Tubuh Sera sering dijadikan punching bag setiap kali suaminya pulang lewat ke rumah setelah berjudi.

Sedih dan pilu dengan apa yang berlaku terhadap dirinya, Sera mula menyiasat perubahan tingkah laku suaminya itu.

Menceritakan kepada Sinar Harian, Sera berkata, suaminya yang dahulunya merupakan seorang yang taat kepada agama secara tiba-tiba menjadi seorang kaki judi.

“Saya mendapat tahu perkara tersebut selepas melihat beberapa pesanan ringkas pada telefon bimbit milik suami, terdapat beberapa aplikasi perjudian selain beberapa kiriman ringkas kepada rakan suami berkisarkan tentang perjudian.

“Hati saya luluh saat itu, saya tak sangka, sepanjang enam tahun perkahwinan kami, dia tidak pernah sekali pun berkasar dengan saya, namun sikapnya berubah tatkala ketagih dengan aktiviti perjudian,” luahnya.

Tambah Sera, tubuhnya sering kali menjadi mangsa sepak terajang suami tanpa sebarang sebab yang kukuh.

“Ada sekali itu, suami minta saya masakkan asam pedas ikan, jadi saya masak sebab tahu itu hidangan kegemarannya.

“Bayangkan selepas satu suap menjamah, terus saya ditampar selain pinggan dibaling, mujur tak kena saya dan anak-anak, saya amat takut ketika itu,” katanya sebak.

Tidak mahu terus menerus menjadi mangsa panas baran suaminya itu, Sera mengambil keputusan membawa diri dan kedua-dua anaknya tinggal di rumah ibu bapanya.

“Tak lama selepas itu, ada juga suami datang pujuk saya dan anak-anak, tapi saya tekad selagi dia tidak tinggalkan tabiatnya yang suka berjudi itu, saya tidak akan tinggal bersamanya.

“Saya akui saya masih sayang pada suami. Setiap kali solat, saya pasti berdoa agar dia meninggalkan perbuatan buruknya itu dan kembali menjadi dirinya seperti sebelum ini,” jelasnya.


Antara serbuan kes perjudian oleh pihak berkuasa


31 Mac 2023

Polis Johor menahan seramai 334 individu dan menyerbu 324 premis diserbu dalam Op Dadu yang dijalankan mulai 1 Januari hingga 31 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu yang ditahan melibatkan 329 penjaga premis perjudian manakala lima lagi merupakan pemain (pelanggan) yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 60 tahun.

Polis turut merampas 355 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tablet (tujuh unit), laptop (empat unit) dan wang tunai berjumlah RM49,435 pada Op berkenaan.

Selain itu, sebanyak 34 premis juga telah berdepan dengan tindakan pemotongan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) manakala empat premis dipohon untuk pembatalan lesen manakala 13 premis telah mendapat kelulusan pembatalan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

31 Oktober 2022

Dua lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah unit kondominium yang disyaki dijadikan pusat panggilan perjudian dalam talian di Jalan Metro Perdana, Kepong, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, premis berkenaan dipercayai dijadikan pusat panggilan oleh sindiket perjudian berkenaan sejak sebulan lalu.

Polis berjaya menangkap dua orang lelaki tempatan berusia 28 dan 30 tahun yang terlibat dalam penganjuran aktiviti perjudian dalam talian (calling centre).

Hasil siasatan awal mendapati premis itu dipercayai telah beroperasi sejak sebulan yang lepas dan kegiatan ini berselindung di sebalik sebuah rumah pangsapuri.

5 Disember 2022

Seramai empat individu termasuk seorang wanita ditahan di sebuah premis di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan pelacuran.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menahan kesemua individu berusia 32 hingga 42 tahun dalam serbuan tersebut.

Polis turut merampas komputer riba, modem, kerusi, meja dan wang tunai tunai sebanyak RM727.