BN tetap sokong Kerajaan Perpaduan

Kenyataan media Zambry.
Kenyataan media Zambry.
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) menegaskan sekali lagi memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ini kerana BN tetap bersama dengan aspirasi rakyat untuk melihat sebuah negara aman dan stabil dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang disepakati oleh semua parti yang membentuk kerajaan atas asas Kerajaan Perpaduan.

"Ini seperti yang dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Maka, BN menyeru kepada semua pihak untuk memberi fokus kepada agenda membangunkan negara dan menolak sebarang bentuk politik gugatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sejak beberapa hari lalu, wujud dakwaan berlakunya gerakan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhammad Faiz Na'aman misalnya, turut memberi bayangan bahawa gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan bukan satu spekulasi, malah ia diketahui pimpinan tertinggi dalam kerajaan

Mengulas lanjut, Zambry berkata, terdapat pelbagai spekulasi terkini yang cuba dimainkan dalam media sosial oleh kalangan tertentu yang kehilangan kompas politik kestabilan melalui usaha ancaman dan gugatan bertujuan melihat negara terus berantakan.

Menurutnya, negara mendambakan sebuah kerajaan yang stabil untuk membangunkan semula agenda pembangunan, pertumbuhan dan pemacuan negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

"Malaysia perlu muncul semula di pentas antarabangsa bagi membina keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa.

"Jadi asas kestabilan perlu dipertahankan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia," ujarnya.