Misi buru 40 emas Kemboja 2023 kontinjen negara bermula

Kontinjen Malaysia semasa upacara perasmian Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh pada Jumaat. Bendera Kemboja dibawa masuk ke Stadium Nasional Morodok Techo pada upacara perasmian Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh. - FOTO AFP

A
A
A

SUKAN SEA Kemboja 2023 edisi ke-32 disingkap secara rasmi dengan suasana meriah di Stadium Morodok Techno, pada Jumaat.

Tema Sports Live In Peace, diselitkan dengan persembahan kun bakator yakni seni bela diri tradisional masyarakat Kemboja menambah keunikan perasmian temasya dwitahunan ini.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali mengetuai kontinjen negara sambil dipacu pembawa Jalur Gemilang, yang juga atlet karate R Sharmendran.

Edisi Kemboja 2023 kali ini menyaksikan kontinjen negara menampilkan pakaian batik pada upacara perasmian.

Penghibur mengambil bahagian dalam upacara perasmian Sukan SEA ke-32 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh.
Penghibur mengambil bahagian dalam upacara perasmian Sukan SEA ke-32 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh.

Sebagai rekod, sebanyak 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa diletakkan sebagai sasaran kepada kontinjen Malaysia.

Ini mengambil kira keputusan negara penganjur tidak menyenaraikan 57 acara daripada Sukan SEA Vietnam tahun lalu yang menyaksikan kontinjen negara hilang 18 emas, 16 perak dan 30 gangsa.

Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA edisi 32 kali ini melibatkan 927 anggota kontinjen, terdiri daripada 676 atlet dan 251 pegawai.

Edisi Vietnam 2021, Malaysia melabuh tirai di kedudukan keenam dengan meraih 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Pungutan pingat diraih di Hanoi tersebut melepasi sasaran pingat 36 emas, 35 perak dan 75 gangsa yang ditetapkan sebelum itu.