Keluarga Rohingya dirai Yayasan Khalifa menjelang Ramadan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Khalifa bin Zayed Al Nahyan melalui Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Malaysia meraikan kira-kira 1,000 keluarga pelarian Rohingya di sini menjelang tibanya Ramadan dan musim perayaan.

Kedutaan itu semalam mengagihkan pakej bantuan berupa bungkusan makanan dan tilam kepada 500 keluarga Rohingya di Selayang, manakala 500 lagi di Klang, Cheras dan Ampang.

Timbalan Ketua Misi UAE ke Malaysia, Nailofer Al Bastaki berkata UAE dan Yayasan Khalifa sering menjalankan aktiviti amal termasuk membantu komuniti Rohingya.

"Program itu dilancarkan menjelang Ramadan bulan penuh keberkatan, sejajar dengan tahun toleransi UAE seperti diumumkan presiden kami, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan," katanya selepas program itu di Selayang, di sini.

"Kami akan terus menyokong komuniti Rohingya. UAE antara negara utama yang menghulurkan bantuan kemanusiaan sejak lima tahun lalu," katanya.

Al Bastaki berkata Yayasan Khalifa juga akan menyediakan juadah berbuka dan mengedarkan kurma ke masjid, rumah anak yatim dan sekolah semasa Ramadan nanti.

Sumbangan itu merupakan sebahagian program Bantuan Kemanusiaan yayasan untuk Pelarian Rohingya di Malaysia, sejumlah AS$1 juta diperuntukkan sejak 2015.

Di samping itu, Yayasan Khalifa juga menyumbang kepada 10 buah sekolah di Pahang, selain menaja 13 guru bahasa Arab.

Artikel Berkaitan:

Penerima sumbangan Bi Jan,36, berkata bantuan itu serba sedikit meringankan beban keluarganya untuk menyambut ketibaan Ramadan.

"Hanya suami yang bekerja, jadi bantuan ini membawa kegembiraan kepada keluarga kami dan sangat berterima kasih," katanya.

Ibu kepada tiga orang anak itu turut berterima kasih kepada Yayasan Khalifa atas keperihatinannya terhadap masyarakat Rohingya, terutama di Malaysia.

Yayasan Khalifa ditubuhkan Presiden UAE Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan pada Julai 2007, sehingga tahun lalu sejumlah AS$1.206.000.000 diperuntukkan untuk pelbagai projek amal di seluruh dunia. - Bernama