Warga emas runsing fikir modal baiki rumah

Keadaan bumbung rumah Omar di Kampung Padang Besar, Kuala Ketil rosak diterbangkan angin dalam kejadian Sabtu lalu.
Keadaan bumbung rumah Omar di Kampung Padang Besar, Kuala Ketil rosak diterbangkan angin dalam kejadian Sabtu lalu.
A
A
A

KUALA KETIL - Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib dialami sepasang suami isteri warga emas yang runsing memikirkan keadaan bilik tambahan yang sedang dibina kini rosak akibat ribut.

Omar Ahmad, 69, dari Kampung Padang Besar, di sini mendakwa, ruang tersebut telah lama terbengkalai sebelum ini disebabkan kekurangan modal namun baharu sahaja dipasang bumbung sebelum Aidilfitri lalu.

Dia yang melakukan kerja-kerja menjaga kebun menjelaskan, disebabkan kurang mampu, bahan binaan dibeli sedikit demi sedikit dan mengupah tukang bagi kerja-kerja pembinaan.

"Kami buat sikit-sikit bila ada duit, tinggal lantai sahaja belum siap, tetapi bila ribut mai Sabtu lalu, habis bumbung yang baharu dipasang diterbangkan angin," katanya.

Omar menunjukkan bumbung di ruang tambahan yang sedang dibina, rosak diterbangkan angin.
Omar menunjukkan bumbung di ruang tambahan yang sedang dibina, rosak diterbangkan angin.

Omar yang menghidap penyakit tekanan darah rendah dan sering sakit lutut berkata, dia runsing memikirkan modal yang perlu dikumpul sedangkan semua simpanan telah habis digunakan.

Isterinya, Zabedah Md Ariff, 65, menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi, kurang pendengaran dan kabur penglihatan serta perlu mendapatkan rawatan mengikut tarikh ditetapkan.

Jelasnya, selain dia dan isteri serta seorang anak perempuan, rumah itu turut dihuni sebuah keluarga lagi iaitu adik kandung yang menumpang di satu ruang kecil di bahagian dalam rumah berkenaan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kampung Tembak B, Elleh Salleh berkata, keluarga itu telahpun dilawati kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dinasihatkan membuat permohonan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Elleh (kanan) melihat keadaan bumbung rumah Omar dan Zabedah yang rosak akibat dilanda ribut Sabtu lalu.
Elleh (kanan) melihat keadaan bumbung rumah Omar dan Zabedah yang rosak akibat dilanda ribut Sabtu lalu.

Namun, bagi mana-mana individu atau dermawan yang ingin meringankan beban mereka, boleh menghubungi Elleh di talian 016-3645776 memandangkan Omar tidak mempunyai telefon bimbit dan akaun bank.