Penagih ketum berpotensi diserang sawan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PASIR PUTEH - Hospital Universiti Sains Malaysia mendedahkan penagih air ketum berpotensi diserang sawan.

Timbalan Pengarahnya, Profesor Madya Dr Zaidi Zakaria berkata, terdapat ramai pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat sawan didapati ujian air kencing positif ketum dan mereka dikenal pasti terlibat penagihan minuman tersebut.

"Sebelum ini kita telah menerima beberapa kes penagih ketum terkena serangan sawan dan ada dalam kalangan mereka terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Pengambilan berlebihan ketum dalam tempoh yang lama boleh memberikan kesan kepada sel-sel otak.



"Bila sel-sel otak mengalami kerosakan ia boleh menyebabkan penagih ketum ini bertindak di luar jangkaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Seminar Bahaya Penagihan Ketum di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa di sini pada Rabu.

Dr Zaidi (tengah, dua dari kiri) bersama antara peserta Seminar Bahaya Penagihan Ketum di SMK Bukit Jawa, Pasir Puteh pada Rabu.
Dr Zaidi (tengah, dua dari kiri) bersama antara peserta Seminar Bahaya Penagihan Ketum di SMK Bukit Jawa, Pasir Puteh pada Rabu.

Menurut beliau, kerosakan tersebut turut berpunca daripada campuran bahan-bahan yang digunakan seperti ubat batuk, ubat nyamuk dan lain-lain bahan yang dicampurkan untuk mengurangkan rasa pahit serta membangkitkan rasa 'khayal' semasa pengambilan ketum.

Ujarnya, pada masa sama penagih ketum akan mengalami kesan gian seperti menggigil, rasa lemah, tidak bermaya, hidung berair dan tidak senang duduk sekiranya 'terputus' bekalan.

Dr Zaidi berharap golongan ibu bapa dan masyarakat dapat mengambil serius perkara berkenaan kerana kesan pengambilan ketum amat buruk jika tidak dibendung dengan sebaik mungkin.

"Penganjuran seminar ini merupakan usaha kami untuk memberikan penerangan jelas berkait dengan bahaya penagihan ketum yang boleh mendatang mudarat," ujarnya.