S P Setia lancar pembangunan komersial di Setia EcoHill 2

Nadi menyediakan banyak pilihan runcit dan kemudahan perkhidmatan kepada penduduk di Setia EcoHill 2, Semenyih.
Nadi menyediakan banyak pilihan runcit dan kemudahan perkhidmatan kepada penduduk di Setia EcoHill 2, Semenyih.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemaju hartanah, S P Setia Berhad (S P Setia) telah melancarkan fasa pertama pembangunan komersialnya, Nadi di perbandaran Setia EcoHill 2, Semenyih, Selangor.

S P Setia dalam satu kenyataan berkata, Nadi terletak dalam presint komersial perbandaran Setia Commerce Square di Setia EcoHill 2 merupakan fasa kedai pejabat pertama yang mempunyai tiga fasa kedai pejabat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta.

“Ia dibangunkan di atas tanah seluas 34 ekar daripada keseluruhan kawasan 1,010 ekar Setia EcoHill 2 yang dijangka siap menjelang 2026.

“Projek ini menawarkan 86 unit kedai pejabat dan 80 adalah unit teres dua dan tiga tingkat serta enam lagi merupakan unit berkembar dua tingkat,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 80 peratus daripada projek Nadi telah ditempah selepas pratontonnya pada 25 Mac lepas yang mencerminkan permintaan ketara daripada pemilik perniagaan dan pelabur yang ingin menjadi sebahagian daripada pertumbuhan komersial perbandaran itu.

Sementara itu, Pengurus Besar Setia EcoHill, Koh Sooi Meng berkata, kedai-kedai itu akan membawa banyak kemeriahan komersial dan pilihan runcit serta kemudahan kepada 40,000 penduduk Setia EcoHill 2.

“Projek ini juga akan menarik kehadiran penduduk dari 3,000 ekar kawasan kejiranan di sekelilingnya yang mempunyai anggaran populasi sehingga 100,000 penduduk termasuklah perbandaran Setia EcoHill yang berdekatan dengan Setia EcoHill 2,” kata Sooi Meng.

Nadi merupakan pembangunan komersial pertama di Setia EcoHill 2.
Nadi merupakan pembangunan komersial pertama di Setia EcoHill 2.

Sooi Meng berkata, kedudukan Universiti Nottingham Malaysia yang terletak dalam jarak 20 minit pemanduan ke Setia EcoHill 2 dianggarkan mampu menyumbang populasi 5,000 pelajar dari kampusnya.

“Terletak berdekatan dengan beberapa projek bertingkat tinggi yang akan datang di kawasan kejiranan sekitar, kami menyasarkan perniagaan daripada makanan dan minuman (F&B), runcit, dan industri perkhidmatan seperti restoran, klinik, pasar raya mini, bilik pameran, kedai serbaneka, butik perkhidmatan dan pusat pendidikan untuk menyokong pertumbuhan pesat dan pembangunan perbandaran serba lengkap ini,” tambah Sooi Meng.

Kedai pejabat teres Nadi berukuran 26 kaki x 75 kaki untuk unit tengah dua tingkat dan 42 kaki x 75 kaki dan 46 kaki x 75 kaki untuk unit sudut tiga tingkat.

Saiz binaan antara 3,494 hingga 8,642 kaki persegi, dengan harga permulaan RM1.55 juta.

Pejabat kedai berkembar dua tingkat mempunyai keluasan tanah 70 kaki x 148 kaki dan binaan daripada 5,566 kaki persegi, berharga daripada RM3.7 juta.

Unit hujung Nadi akan mempunyai beranda sembilan kaki, menjadikannya sesuai untuk restoran dan kafe, manakala unit berkembar mempunyai ketinggian siling 15 kaki untuk tingkat bawah bagi mewujudkan persepsi yang lebih baik mengenai kelapangan dan membolehkan banyak cahaya semulajadi dan pengudaraan dalaman lebih baik.

Selain pejabat kedai, Setia Commerce Square juga sedang giat mencari rakan kongsi strategik untuk membangunkan tanah stesen minyak.