Cuaca panas: CDERT edar air mineral percuma

Dr Nurul Ain (kiri) dan Nik Saiful Adli (tiga dari kiri) agihkan air mineral percuma dan risalah kepada orang ramai di sekitar Melor, Kota Bharu.
Dr Nurul Ain (kiri) dan Nik Saiful Adli (tiga dari kiri) agihkan air mineral percuma dan risalah kepada orang ramai di sekitar Melor, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Parlimen Ketereh mengambil inisiatif mengedarkan air mineral percuma kepada orang ramai yang sedang berdepan cuaca panas melampau di Kelantan ketika ini.

Pada masa sama, pihak berkenaan turut bekerjasama dengan Kompeni Perubatan CDERT Ketereh mengedarkan risalah penjagaan kesihatan yang mengandungi panduan ringkas penjagaan kesihatan sepanjang musim panas.

Ketua Kompeninya, Leftenan Koloner Bersekutu (PA) Dr Nurul Ain Razali berkata, usaha itu merupakan inisiatif pasukan perubatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya cuaca panas melampau susulan beberapa kes melibatkan kelesuan dan strok haba telah direkodkan.

"Perubahan cuaca melampau ketika ini boleh menyebabkan penyebaran pelbagai penyakit melibatkan masalah pernafasan dan demam melampau.

"APM menganggap cuaca panas ini sebagai salah satu daripada bencana, memandangkan ia boleh memberi bahaya yang berterusan dan berskala besar kepada penduduk di kawasan yang terlibat," katanya kepada pemberita.

Kempen selama dua hari itu diadakan di sekitar kawasan Melor dan turut dihadiri oleh Komander CDERT Ketereh, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan.

Menurut beliau, atas sebab itu, pasukan tersebut beranggapan bahawa ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab APM untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

Ujarnya, orang ramai juga dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti luar bangunan pada siang hari serta memperbanyakkan minum air semasa melakukan aktiviti fizikal terutama di luar bangunan.