Sekolah dibenar tutup jika suhu lebih 37 darjah Celsius

KPM membenarkan sekolah ditutup sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah celsius selama tiga hari berturut-turut. - Gambar hiasan
KPM membenarkan sekolah ditutup sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah celsius selama tiga hari berturut-turut. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membenarkan pentadbir untuk menutup sekolah sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Menerusi surat siaran pekeliling yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Norisah Suhaili, keputusan itu dibuat memandangkan situasi cuaca berkenaan yang dilaporkan berlaku di beberapa lokasi seluruh negara ketika ini.

Jelas surat berkenaan, segala aktiviti luar melibatkan murid, pelajar dan guru mesti dihentikan antaranya merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian.

“Penutupan institusi pendidikan akibat status suhu harian bagi cuaca panas hendaklah dimaklumkan oleh pentadbir kepada pendaftar dengan serta merta secara lisan dan bertulis menggunakan apa-apa medium yang sesuai.

“Pentadbir hendaklah mengemukakan surat permakluman rasmi kepada pendaftar berhubung penutupan institusi pendidikan atas sebab status suhu harian bagi cuaca panas pada tahap amaran dua.

“Ia mesti dilampirkan bersama-sama dokumen sokongan yang menjelaskan tentang proses penilaian risiko dijalankan sebelum keputusan untuk menutup institusi pendidikan,” katanya.

Selain itu, pihak pentadbir perlu memastikan bilik di premis sekolah mempunyai pengudaraan baik termasuk sentiasa memantau tahap kesihatan pelajar bagi mengelakkan sebarang risiko seperti strok haba.

Jelasnya, garis panduan berkenaan diharap dapat memastikan pengurusan penutupan institusi pendidikan dapat dilaksanakan secara teratur.

Surat siaran berkuat kuasa serta-merta itu terpakai untuk semua institusi pendidikan di bawah KPM jika kawasan mereka diisytiharkan terkesan mengalami gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).