Crossword Puzzles Competition uji kemampuan berfikir peserta

Eddie
Eddie
A
A
A

SHAH ALAM - Sebagai penggerak utama pendidikan di negeri Selangor, Yayasan Selangor telah mengambil inisiatif dengan menjadi penaja utama Crossword Puzzles Competition yang akan berlangsung sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eddie Ahmad Khodzali berkata, pertandingan Crossword Puzzles tersebut akan diadakan pada 10 Mei depan dengan penyertaan membabitkan kumpulan pelajar dari sekolah menengah.

“Permainan teka silang kata ini menguji kebolehan dan kemahiran berfikir para peserta menyelesaikan pelbagai soalan dalam Bahasa Inggeris.

“Selain itu, ia juga memupuk semangat bekerjasama dalam kumpulan masing-masing ketika menyelesaikan soalan dalam tempoh masa yang diberikan.

“Saya yakin Crossword Puzzles ini mampu menarik ramai pelajar untuk menyertainya kerana ia pertandingan yang cukup berbeza daripada yang lain,” ujarnya.

Beliau berkata, setiap peserta akan diberikan sijil peringkat negeri dan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum bagi penyertaan dalam pertandingan berkenaan.

Selain menjadi penaja utama dalam pertandingan tersebut, Yayasan Selangor turut menyediakan pelbagai pengisian pendidikan yang cukup hebat sepanjang karnival berlangsung.

“Kita akan adakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung terus kekal di reruai Yayasan Selangor.

“Antara yang bakal diketengahkan adalah kuiz pendidikan, robotik, dron dan kahoot serta mengadakan sesi penerangan berkenaan produk-produk yang ditawarkan Yayasan Selangor.

“Tidak ketinggalan, Yayasan Selangor akan menjemput rakan strategik seperti Pustaka Raja Tun Uda, Universiti Selangor (Unisel), Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dan banyak lagi untuk memeriahkan lagi reruai kami pada karnival kali ini,” ujar Eddie.

Mengulas lanjut mengenai tema karnival iaitu Memacu Pendidikan Generasi Digital, beliau berkata, tema tersebut sangat bertepatan dengan pendidikan pada hari ini.

“Dalam dunia yang semakin maju, sangat penting untuk kita mempersiapkan generasi masa depan agar memiliki ketrampilan digital yang cukup untuk menghadapi cabaran akan datang.

“Justeru, Yayasan Selangor kini bersiap sedia ke arah pembelajaran digital di mana kita menyediakan inisiatif seperti smart classroom, pemberian komputer riba, pembelajaran coding, pengaturcaraan, pengetahuan robotik dan teknologi kecerdasan buatan serta banyak lagi kepada para pelajar selaras dengan transformasi Yayasan Selangor ketika ini,” ujarnya.

Karnival Pendidikan Sinar Bestari bakal berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Mei depan di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini.

Selain Yayasan Selangor sebagai pempamer, beberapa nama besar seperti Farm In The City, Pusat Sains Negara, NU Ideaktiv, agensi pencarian terkemuka, Google dan Microsoft Corporation (Microsoft) akan turut serta dalam karnival pendidikan terbesar di negeri Selangor ini.