Perangi dadah habis-habisan: MB Kelantan

Ahmad (empat dari kiri) bersama penerima anugerah belia yang diraikan dalam majlis Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan di Tanah Merah hari ini.
Ahmad (empat dari kiri) bersama penerima anugerah belia yang diraikan dalam majlis Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan di Tanah Merah hari ini.
A
A
A

TANAH MERAH - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mahu kerjasama dari semua pihak dalam usaha menangani gejala penagihan dadah di negeri ini.

Ahmad berkata, kerjasama ini bukan sahaja di peringkat negeri malah perlu melibatkan penglibatan luar bagi memastikan dalang yang melakukan kegiatan pengedaran dapat dikenal pasti.

"Seperti kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hasan, beliau menyatakan kebimbangan mengenai isu itu yang melibatkan kegiatan berkenaan termasuk murid sekolah rendah secara berleluasa dan perlu ditangani.

"Jika kita lihat, kegiatan ini berleluasa kerana pengedarannya dan bekalan dadah sintek dan ketum bukan berasal dari Kelantan namun diedarkan secara meluas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Hari Belia Negara dan Pameran Ekspo Belia Peringkat Negeri Kelantan di pekarangan Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) di sini hari ini.

Ahmad berkata, kerajaan negeri turut menekakan kepada exco-exconya supaya memberi perhatian kepada tiga perkara termasuk dalam menghadapi masalah sosial, selain isu melibatkan sumber asli untuk diproses dan masukkan ke dalam industri tempatan dan isu kebersihan.

"Jadi dalam soal berkaitan dadah, kita perlu tangani bersama bagi memastikan gejala ini tidak terus membelenggu anak muda.

"Dadah sintetik merupakan antara yang menjadi kegemaran kini yang boleh merosakan sistem saraf maka kita perlu lancar perang seperti perang candu yang sebelum ini pernah berlaku di negara China suatu masa dulu dan usaha ini perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan Pilihan Raya Kecil Sandakan, Sabah, beliau berkata, pihaknya belum menerima makluman dari PAS Pusat mengenai calon dari pihak parti itu yang bakal bertanding.

"Setakat ini kita belum terima apa-apa dan kita serahkan keputusan kepada pihak terbabit," katanya.