Sandakan perlukan Ahli Parlimen yang pro-kerajaan, kata Mohd Shafie

Calon DAP Vivian Wong Shir Yee (tengah) bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal (empat, kiri) dan Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng (empat, kanan) berarak ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Parlimen P198 Sandakan di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua hari ini. - Foto Bernama
Calon DAP Vivian Wong Shir Yee (tengah) bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal (empat, kiri) dan Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng (empat, kanan) berarak ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Parlimen P198 Sandakan di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Sandakan memerlukan seorang Ahli Parlimen yang pro-kerajaan bagi memastikan orang ramai di kawasan berkenaan mendapat perkhidmatan terbaik daripada wakil rakyat mereka.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, usaha memenuhi permintaan serta menangani masalah yang dibangkitkan rakyat bukanlah satu tugas yang mudah, dan seorang wakil rakyat yang mewakili kerajaan negeri dan Persekutuan pastinya akan memastikan setiap rancangan yang memberi manfaat kepada penduduk tempatan akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Kami (kerajaan negeri) bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, sentiasa dahagakan pembangunan di Sabah. Oleh itu amat penting bagi kita mempunyai seorang wakil rakyat yang mewakili kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata calon DAP untuk pilihan raya kecil (PRK) Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, 30, tidak seharusnya dianggap sebagai ‘mentah’ walaupun usianya masih muda kerana beliau sentiasa banyak membantu bapanya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkhidmat kepada penduduk tempatan semasa hayat bapanya masih ada.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya Stephen Wong Tien Fatt, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai tarikh hari penamaan calon, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei.

Penamaan calon hari ini memuktamadkan pertandingan dalam PRK Sandakan ini akan menyaksikan Vivian berentap dengan calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga lagi calon bebas bagi merebut kerusi Parlimen berkenaan.

Sementara itu Naib Presiden parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu akan menggerakkan jentera pilihan rayanya untuk membantu kempen calon DAP dengan segera.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah itu berkata, UPKO akan bekerjasama dengan parti-parti kerajaan lain iaitu DAP, Parti Warisan Sabah, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Amanah untuk memastikan kemenangan berpihak kepada calon DAP.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu kita bersama pemimpin UPKO Libaran, Beluran dan Sandakan menghadiri penamaan calon pada hari ini bersama para pemimpin parti-parti lain dan ratusan penyokong berarak dari Kawasan Industri Ringan BDC menuju ke pusat penamaan di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua untuk menyemarakkan lagi semangat dan sokongan padu kepada Vivian Wong,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Ewon UPKO mempunyai lebih 600 anggota yang mengundi di Sandakan, yang terdiri daripada anggota-anggota parti di Bahagian Libaran, Sandakan, Beluran dan Kinabatangan.

Turut bersama mengiringi Vivian ke pusat penamaan calon adalah Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau.- Bernama