'Lif kerap rosak, hanya satu berfungsi'

Kejadian lif rosak kerap berlaku. Penduduk terpaksa guna tangga setiap kali lif rosak.
Kejadian lif rosak kerap berlaku. Penduduk terpaksa guna tangga setiap kali lif rosak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk di Blok 35 Perumahan Awam (PA) Seri Perak Bandar Baru Sentul di sini mengeluh apabila terpaksa berdepan masalah lif uzur dan kerap rosak.

Hanya satu lif berfungsi sementara satu lagi ditutup sejak awal tahun lalu bagi kerja penggantian lif baharu.

Permasalahan itu dibangkitkan di media sosial oleh pemilik akaun Facebook, Tan Sri Ikie yang memohon isu tersebut diberikan perhatian dan diselesaikan.

Menerusi perkongsian tersebut, lif yang berfungsi kerap rosak adakala dua kali dalam tempoh sehari.

Ujarnya, pusat khidmat pelanggan didakwa turut bersikap kurang ajar sewaktu menerima panggilan daripada penduduk yang membuat aduan kerosakan.

"Bayangkan flat 17 tingkat langsung tak ada lif, yang muda-muda pun tercungap naik tingkat lima. Macam mana dengan pak cik dan mak cik nak turun naik kalau macam ini (lif kerap rosak) selain orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita sarat mengandung, " kongsinya di halaman Facebook Warga Sentul Batu baru-baru ini.

Beliau memaklumkan, pihak persatuan penduduk telah banyak kali membuat aduan berhubung permasalahan lif kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan syarikat penyelenggara lif namun tiada jalan penyelesaian.

"Mahu tunggu orang mati atau terberanak baru nak ambil tindakan?

"DBKL tolong cari penyelesaian. Ada pejabat bawah flat tapi tak nampak turun padang jenguk orang," luahnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, kebanyakan blok PA dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini dalam fasa penggantian lif baharu menerusi peruntukan RM127 juta di bawah kempimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Proses tersebut telah bermula dengan satu lif ditutup bagi tujuan itu menyebabkan hanya satu lif berfungsi.

"Saya sudah turun ke lokasi dan dapati kerosakan disebabkan vandalisme. Ada individu tidak bertanggungjawab membuang air kecil pada bahagian butang lif menyebabkan pendawaian elektrik rosak," katanya.

Selain itu katanya, proses penggantian lif mengambil sedikit masa susulan banyak komponen pendawaian elekrikal di PA Seri Perak telah berusia lebih 40 tahun.

"Nasihat saya, penduduk perlu sama-sama menjaga kemudahan tersebut sementara proses penggantian lif selesai sepenuhnya, jangan buat vandalisme, rosakkan butang lif atau buang sampah didalamnya.

"Kemudahan ini kegunaan bersama, tindakan merosakkan lif akan memberi mudarat kepada pengguna lain khususnya warga emas dan mereka yang sakit," katanya.

Pada masa sama katanya, kontraktor lif ditempatkan di lokasi selama 24 jam setiap hari bagi membolehkan lif dibaiki segera setiap kali aduan kerosakan diterima.