Fahmi akui peminat Mael XPDC, turut kongsi khabar duka

Perkongsian Fahmi di laman Twitter pada Khamis.
Perkongsian Fahmi di laman Twitter pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkongsi khabar duka pemergian vokalis kumpulan rock XPDC iaitu Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael.

Menerusi perkongsian di laman Twitter, Fahmi berkata, sebagai antara jutaan peminat penyanyi itu, beliau mendoakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Innalillah. Menerima khabar duka. Penyanyi kumpulan XPDC, Mael meninggal dunia sebentar tadi.

“Saya antara jutaan peminat beliau dan ‘Semangat yang Hilang’ merupakan lagu kegemaran saya.

"Semoga ALLAH tempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman,” ciapnya di Twitter pada Khamis.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, berita kematian penyanyi berumur 55 tahun itu dikongsi oleh pengurusnya yang dikenali sebagai Bro Yazid di laman Facebook beliau.

XPDC merupakan kumpulan rock popular era 1980 hingga 1990-an dan sering mengadakan konsert di tapak pesta seluruh negara sehingga diberi jolokan 'Raja Funfair.'