Tunduk kepada golongan elit bandar punca sokongan merosot, kata Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SINGAPURA - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhadapan dengan kemerosotan sokongan masyarakat Melayu kerana terlalu tunduk kepada golongan elit bandar.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan yang lebih kepada isu-isu yang dekat di hati rakyat terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar seperti harga komoditi getah yang rendah.

"Golongan elit bandar telah meletakkan senarai keutamaan yang telah memisahkan masalah sebenar yang dihadapi oleh orang miskin dan ada ketikanya golongan elit bandar ini mengabaikan masalah sebenar ini.

"Saya tidak pernah dengar mereka bercakap tentang kemiskinan dan ketidaksamaan.

"Isu hak asasi manusia, kebebasan kehakiman adalah perkara yang kita tidak boleh lengahkan pelaksanaannya tetapi perkara paling utama dan pokok ialah ekonomi.

"Kesukaran ekonomi adalah benar, kita mesti menyelesaikan perkara ini," katanya yang dipetik daripada Channel NewsAsia (CNA) ketika bercakap pada Sesi Persidangan Inter-Pacific Bar Association (IPBA) di sini semalam. Semalam, pusat kajian, Merdeka Center melaporkan, kadar sokongan terhadap kerajaan PH merosot sebanyak 39 peratus berbanding 79 peratus pada 31 Mei 2018 berdasarkan kajian yang dijalankan di seluruh negara pada 5 hingga 11 Mac lalu.

Kajian mendapati, jumlah pengundi yang berpuas hati terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga didapati menurun daripada 71 peratus pada Ogos 2018, jatuh kepada cuma 46 peratus sahaja.

Kemerosotan terhadap sokongan awam terhadap pentadbiran kerajaan dapat dilihat apabila pengundi yang berasa negara menuju ke arah yang salah telah meningkat sebanyak 46 peratus pada Mac 2019 berbanding 24 peratus pada Ogos 2018.

Artikel Berkaitan:

Kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center itu melibatkan 1,204 pengundi berdaftar meliputi 52 peratus kaum Melayu, Cina (29 peratus), India (7 peratus), muslim Bumiputera (6 peratus) dan bukan muslim Bumiputera daripada Sabah dan Sarawak (6 peratus).

Metodologi kajian tersebut ialah temubual melalui telefon bimbit dan talian tetap, sementara responden dipilih secara rawak mengikut kumpulan usia, etnik, gender dan kawasan pilihan raya negeri.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau turut menekankan tentang isu perkauman dan agama yang perlu diselesaikan segera atau berdepan dengan kebangkitan pelampau agama dan kaum.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, masyarakat Melayu di luar bandar bimbang dengan dasar-dasar kerajaan yang akan meminggirkan mereka.

Tegas beliau, perkara paling penting ialah memastikan Bahasa Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu tetap dipelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Di Malaysia, Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan itu tidak akan mendatangkan bahaya sekiranya anda menekankan bahawa setiap rakyat perlu mahir menggunakan bahasa Melayu," katanya.