Sanusi dinasihat muliakan tetamu, bersilaturahim

Dari kiri: Muhammad Sanusi, Mohammed Taufiq
Dari kiri: Muhammad Sanusi, Mohammed Taufiq
A
A
A

SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta menunjukkan tauladan yang baik termasuklah memuliakan tetamu, menyambung silaturahim selain berkata baik.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, sebagai pemimpin yang dihormati, Muhammad Sanusi sepatutnya meraikan kegembiraan Hari Raya Aidilfitri dengan semua rakyat tanpa mengira perbezaan.

"Patutnya bulan ini dijadikan bulan kemaafan dan silaturahim, bukan bergaduh.

"Kalau dulu (penganjuran rumah terbuka) semua asyik bertumpu di Lembah Klang, kali ini Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan semua terutamanya yang jauh di Utara dan Pantai Timur sana.

"Saya sebagai anak Kedah memang seronok sangat bila ada pengumuman Rumah Terbuka PM dibawa sampai ke negeri kita ini, bukan apa, barulah anak Kedah ini rasa disambut dan tak dipinggirkan," ciapannya di Twitter pada Selasa.

Menurut beliau, Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri bukanlah dianjurkan untuk parti tertentu sahaja sebaliknya terbuka kepada semua.

"Takkan nak mai makan-makan dengan rakyat Malaysia dah dikira kempen?

"Dia kalau mai Selangor makan dengan anak Kedah sampai buat cerita kata disingkirkan dari Majlis Kewangan Negara, itu baru patut dikira berpolitik.

"Ini PM tak dan mai lagi dia dah kata pasai kempen," jelasnya.

Mohammed Taufiq dalam masa sama meminta agar Muhammad Sanusi mencontohi rakan Menteri Besar Kelantan dan Terengganu yang menerima penganjuran itu dengan hati terbuka.

"Takpa, saya baca ucapan Datuk Seri MB hari itu pun, MB kata akan turun sekali. Seronok saya dengar. Nanti kalau mai, bolehlah kita sembang-sembang.

"Kadang politik ini memang boleh jadi panas sikit. Harap air yang depa hidang di rumah terbuka nanti bolehlah bagi sejuk sikit," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Muhammad Sanusi yang mendakwa Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama PM di enam negeri dianggap sebagai kempen Pilihan Raya Negeri dan tidak wajar diadakan.

Jelas beliau, program terbabit melibatkan kos yang tinggi sedangkan kerajaan persekutuan sebelum ini menguar-uarkan supaya langkah penjimatan perlu dibuat semua pihak.