Pochettino dalam radar Chelsea

Pochettino
Pochettino
A
A
A

CHELSEA kini dalam proses rundingan untuk melantik bekas pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino sebagai pengurus baharu mereka.

Jurulatih kelahiran Argentina itu dikatakan berminat dengan tugas di Stamford Bridge, namun beberapa rundingan akan dilakukan sebelum sebarang perjanjian dimuktamadkan.

Terdapat juga laporan yang mengatakan Chelsea mahukan segera membawa masuk Pochettino dan percaya mereka dalam proses akhir memuktamadkan pengganti Graham Potter.

Sejak Potter meninggalkan Stamford Bridge pada awal bulan ini, bekas bintang Chelsea, Frank Lampard dilantik sebagai pengendali sementara.

Bagaimanapun, kehadiran semula Lampard tidak membawa sebarang petanda positif apabila Chelsea tewas dalam kesemua empat perlawanan di bawah kendaliannya.

Sehingga kini, masih belum diketahui sama ada Pochettino yang tidak lagi membimbing mana-mana kelab sejak Paris Saint-Germain (PSG) memecatnya pada Julai 2022 akan mengambil alih tugas Lampard.

Mengikut perancangan pihak pengurusan Chelsea, Lampard akan terus kekal membimbing Chelsea seperti yang dirancang sehingga akhir musim ini.

Selain Pochettino, Chelsea turut dilapor mengadakan perbincangan dengan bekas pengendali Bayern Munich, Julian Nagelsmann yang dipecat bulan lalu.