'Dah biasa tiada keluarga datang'

Sebahagian warga emas yang berada Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai Taman Tas, Kuantan. - Gambar kecil dari kiri: Abdullah Saimi (kiri), Abdul Hisham
Sebahagian warga emas yang berada Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai Taman Tas, Kuantan. - Gambar kecil dari kiri: Abdullah Saimi (kiri), Abdul Hisham
A
A
A

KUANTAN - Penghuni yang menetap di Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai Taman Tas di sini tetap gembira menyambut Aidilfitri meskipun hanya meraikan bersama petugas di tempat tersebut.

Mereka mendakwa hanya itu sinar kegembiraan yang mampu dikecapi daripada mengharapkan kehadiran sanak saudara untuk mengunjungi mereka.

Abdullah Saimi Mat Ali, 65, berkata, hidup sebatang kara membuatkan dirinya pasrah apabila tiada saudara menziarahinya di rumah kebajikan itu.

Dia yang berasal dari Maran mengakui cukup kegembiraan menyambut lebaran bersama petugas dan 24 rakan penghuni lain di rumah itu.

“Saya biasa sahaja sambut hari raya, bagi kami yang dah tua ini, ada makan ada minum sikit dah cukup.

“Kami tidak minta lebih, sekadar apa yang disediakan rumah kebajikan, itulah kami raikan. Kalau ahli keluarga tak datang pun, kami tidak kisah dan sudah biasa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah kebajikan berkenaan pada Isnin.

Seorang lagi penghuni, Abdul Hisham Haris, 50, pula mengakui sayu setiap kali mendengar takbir raya meskipun dilahirkan sebagai yatim piatu.

Dia bagaimanapun tidak kisah menyambut hari lebaran di rumah orang tua kerana tidak mempunyai sanak saudara lain.

“Sedih, tapi saya dah tiada keluarga.Rumah kebajikan ini adalah keluarga baharu saya, jadi saya sambut lebaran bersama teman-teman di sini.

“Seronok juga, sebab mereka pun sebahagian daripada keluarga saya sejak duduk di sini,” ujarnya yang berasal dari Temerloh.

Sementara itu, pengurus rumah kebajikan itu, Mohamad Fauzi Ramli berkata, sepatutnya lebih ramai saudara-mara penghuni rumah kebajikan berkenaan dapat meluangkan masa dan mengunjungi mereka, terutamanya ketika sambutan hari perayaan.

“Sebelum ini ada penghuni yang awal pagi raya lagi sudah siap memakai baju raya menunggu anak datang melawat, namun akhirnya kecewa kerana insan yang ditunggu tidak muncul tiba.

“Sebagai anak, sepatutnya mereka menghargai kasih sayang ibu bapa dan bersyukur dengan nikmat yang ada luangkan sedikit masa untuk mereka selagi mereka masih hidup,” katanya.