Sukan SEA: Acara sepak takraw regu berpasukan tetap diadakan

Acara sepak takraw regu berpasukan akan tetap dianjurkan pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023.
Acara sepak takraw regu berpasukan akan tetap dianjurkan pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023.
A
A
A
ACARA sepak takraw regu berpasukan akan tetap dianjurkan pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023, walaupun mempunyai kurang daripada empat negara yang mengambil bahagian dalam acara itu, demikian menurut Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC).

Setiausaha Agungnya, Vath Chamroeun, berkata keputusan itu dibuat untuk memperakui dan menghargai sumber dan masa yang diluangkan oleh pemain, jurulatih dan pegawai pasukan sebagai persediaan untuk acara tersebut pada temasya dwitahunan itu.



Justeru, katanya, acara itu akan disertai oleh juara bertahan, Thailand, Malaysia, pemenang pingat perak Sukan SEA 2021, dan tuan rumah, Kemboja.



"Saya juga boleh mengesahkan bahawa CAMSOC mengekalkan keputusannya untuk membenarkan tiga NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan) yang bertanding dianugerahkan pingat emas, perak dan gangsa mengikut keputusan akhir pertandingan,” katanya dalam surat kepada Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader, semalam.

Sementara itu, ASTAF, dalam kenyataan, mengesahkan acara regu berpasukan akan dipertandingkan mengikut format ‘round robin’ susulan penyertaan kurang daripada lima negara.

Sukan SEA ke-32 akan berlangsung di Phnom Penh dari 5 hingga 17 Mei ini. - Bernama